Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
RM162.42 juta tahun ini untuk program sosial: Ketua Menteri
Published on: Saturday, May 17, 2025
Published on: Sat, May 17, 2025
By: R Gonzales
Text Size:
Text:
RM162.42 juta tahun ini untuk program sosial: Ketua Menteri
HAJIJI (keenam dari kiri) diiringi oleh Nancy melakukan pelepasan Konvoi Kembara Kasih KPWKM 2025, pada Jumaat.
Tuaran: Kerajaan negeri terus memperkukuh komitmen dalam memastikan rakyat di negeri ini tidak tercicir daripada arus pembangunan sosial negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kesejahteraan rakyat kekal menjadi agenda utama pentadbiran negeri.

Advertisement
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM162.42 juta tahun ini kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah serta agensi di bawahnya bagi melaksanakan pelbagai program sosial yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

"Kerajaan menyalurkan sebanyak RM76.29 juta tahun ini bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, kanak-kanak serta anak yatim melalui pelbagai skim bantuan yang disasarkan secara khusus.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
"Manakala sejumlah RM956,000 turut diperuntukkan untuk program-program kesejahteraan rakyat yang meliputi aspek kekeluargaan, kepenggunaan, pembangunan wanita dan gaya hidup sihat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan Program Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2025 dan Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Mobile Sabah di Astaka Padang Tuaran dekat sini, Jumaat.

Advertisement
Menurut beliau, selain itu, sebanyak RM550,000 disalurkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Sabah dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan, khususnya KPWKM yang menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat Sabah.

Advertisement
Katanya, ini termasuk RM300,000 Bantuan Bencana Banjir Sabah 2025 oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan RM2.1 juta diperuntukkan bagi keperluan di 384 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa musibah banjir di seluruh negeri.

Hajiji berkata lagi, sebanyak RM330 juta Program Bantuan Kewangan Persekutuan Tahun 2025 untuk Sabah di mana RM315 juta diagihkan kepada 45,572 penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Usaha ini mencerminkan perhatian serius Kerajaan Persekutuan terhadap kesejahteraan rakyat Sabah dan kesediaan untuk terus memperkukuh jaringan sosial demi rakyat," ujarnya.

Menyentuh pelancaran PSSS Bergerak, Hajiji menyifatkan inisiatif itu sebagai respons tepat terhadap krisis kesihatan mental yang semakin membimbangkan di seluruh negara terutama pasca pandemik Covid-19.

Beliau merujuk laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendedahkan lebih 5 juta rakyat negara ini mengalami isu seperti kemurungan, kebimbangan dan tekanan, termasuk peningkatan kes bunuh diri.

"PSSS Mobile ini diharap mampu menjangkau masyarakat luar bandar dan memberi sokongan psikososial yang diperlukan termasuk untuk mereka yang terkesan dengan penceraian, penderaan, pengangguran dan beban kewangan," katanya.

Beliau menyeru seluruh rakyat, khususnya mereka yang berada dalam laluan Kembara Kasih KPWKM 2025, agar hadir dan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai perkhidmatan yang disediakan sepanjang program ini.

Program Kembara Kasih KPWKM 2025 melibatkan dua zon utama di Sabah iaitu Tuaran, Papar dan Penampang (Zon 1) serta Lahad Datu, Kunak dan Tawau (Zon 2). 

la menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang turun padang menyampaikan perkhidmatan kebajikan secara menyeluruh kepada rakyat.

Hajiji turut berharap agar program seumpama ini diteruskan dan diperluas ke kawasan lain pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Antara perkhidmatan disediakan, saringan kanser serviks (Ujian HPV DNA), semakan bantuan JKM, bantuan psikososial, nantuan khidmat guaman wanita, Perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak, Info Dasar Wanita Negara oleh JPW, Perkhidmatan Talian Kasih 15999, Karnival Kasih Madani, jualan rahmah dan jualan usahawan wanita.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here