Kota Kinabalu: Sabah FC berkemungkinan menampilkan lebih ramai pemain tempatan pada musim 2025/2026 menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa), Datuk Shahelmey Yahya.
“Sebagai presiden Safa, harapan saya adalah untuk melihat pasukan ini dapat mengekalkan daya saing mereka pada musim baharu dan pada masa yang sama kami berharap untuk melihat lebih ramai muka baharu atau pemain tempatan dari Sabah berada dalam kesebelasan utama,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian perkongsian strategik antara Sabah FC dan redONE Mobile Network di sini pada Jumaat.
Beliau turut mendedahkan status pemain termasuk semua import dalam pasukan untuk musim baharu masih belum dimuktamadkan namun barisan kejurulatihan yang diketuai ketua jurulatih Martin Stano kekal sama.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Shahelmey mengucapkan terima kasih kepada redONE atas kerjasama mereka dan menganggap kerjasama itu menandakan langkah strategik dan inovatif dalam usaha mereka untuk membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja dari segi prestasi sukan, tetapi juga dari segi pembangunan komuniti dan pemasaran digital.
“Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk mengukuhkan kehadiran digital Sabah FC melalui penggunaan teknologi komunikasi yang canggih dan inovatif, serta menyediakan platform yang lebih dekat dan interaktif kepada penyokong setia kami.
“Dengan sokongan ini, kami berharap dapat memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk aplikasi mudah alih, platform penstriman langsung, dan program interaktif yang melibatkan penyokong dan komuniti bola sepak di Sabah dan seluruh negara.
“Ini juga akan membuka peluang kepada pemain muda tempatan untuk mendapat pendedahan dan latihan yang lebih baik melalui program pembangunan bakat dan kami percaya ia akan membantu melahirkan lebih ramai pemain berbakat,” katanya.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif redONE Mobile Ameen Amaendran berkata kerjasama itu mencerminkan matlamat bersama untuk menyokong sukan tempatan sambil mencipta nilai yang lebih besar untuk peminat melalui usaha penjenamaan dan penglibatan bersama.
Di samping itu, syarikat itu akan memperkenalkan pelan pascabayar tanpa had eksklusif yang direka khas untuk peminat bola sepak di Malaysia dan merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menawarkan dua jersi tempat sendiri dan tempat lawan Sabah FC edisi terhad 2025 secara percuma.
“Sabah FC sentiasa mewakili semangat juang dan kebanggaan rakyat Sabah. Kami berbangga untuk meneruskan perjalanan ini bersama pasukan, menyokong mereka di dalam dan di luar padang, sambil mengukuhkan komitmen kami kepada masyarakat setempat melalui sambungan mudah alih yang lebih baik dan perkhidmatan yang boleh diakses.
“Kami percaya pada perkongsian yang mencipta nilai sebenar bukan sahaja untuk jenama atau sukan kami, tetapi juga kepada komuniti yang lebih luas secara keseluruhan. Dengan inisiatif seperti Postpaid FC50 eksklusif kami, kami berbangga untuk menawarkan rakyat Sabah terutamanya peminat Sabah FC, lebih daripada sekadar pelan mudah alih. Kami menawarkan mereka cara yang bermakna untuk kekal berhubung sambil menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk pasukan kegemaran mereka,” katanya.