RANAU: Seramai 14 peserta muda sekitar daerah Ranau menyertai program Klinik Asas Penjaga Gol Muda yang diadakan di Kompleks Sukan Ranau baru-baru ini.
Program pembangunan asas anjuran Kelab RYFC itu tertumpu kepada teknik dan pemahaman tentang peranan penjaga gol moden (serta taktik penjaga gol lama).
Program itu dikendalikan oleh bekas penjaga gol Sabah, Austin Orou yang merupakan jurulatih berpengalaman yang telah lama bergiat dalam pembangunan penjaga gol dan dibantu oleh Voo Zhong Shan.
Menurut Austin, dia amat bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh RYFC untuk berkongsi ilmu dan pengalaman khususnya kepada golongan muda di sini.
“Saya amat berterima kasih kepada Kelab RYFC kerana menjemput saya untuk menjadi penceramah dan tenaga pengajar untuk klinik ini, dan saya bersyukur kerana hasrat kami untuk mengadakan program ini akhirnya menjadi kenyataan.
“Sudah lama saya menunggu peluang untuk terlibat dan dijemput ke program penjaga gol seperti ini terutama di daerah Ranau – tidak kira kelab, persatuan mahupun individu,” katanya penuh semangat.
Kehadiran peserta yang sangat berminat dan komited sepanjang program ini telah memberi petunjuk jelas bahawa potensi anak muda di Ranau sangat besar.
Walaupun ada peserta tidak dapat hadir kerana masalah yang tidak dapat dielakkan, namun keghairahan peserta yang hadir membuktikan keberkesanan pendekatan program ini.
Pengurus Kelab RYFC, Coach Lady menyatakan bahawa klinik ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan akar umbi kelab, yang bukan sahaja memberi pendedahan kepada pemain, malah turut membuka ruang untuk mencungkil bakat dalam peranan tertentu seperti penjaga gol.
Dalam pada itu, RYFC turut melahirkan rasa syukur dan gembira apabila kelab itu kini telah disahkan secara rasmi di bawah naungan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Pengiktirafan ini memberi semangat baru dan keyakinan tinggi kepada pihak pengurusan untuk terus mengorak langkah dalam dunia pembangunan bola sepak akar umbi.
Kelab ini juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan program dan aktiviti kelab - termasuk ibu bapa, penderma, sukarelawan dan rakan strategik.
Tanpa sokongan berterusan ini, RYFC tidak akan mampu untuk terus aktif bergerak ke hadapan demi kemajuan anak muda Ranau dalam dunia bola sepak.