PAPAR: Pengumuman kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi pilihanraya negeri (PRN17) tidak wajar menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kerana hanya membabitkan persefahaman dua parti gabungan.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan Ketua Sekretariat Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Setiausaha Agung Umno dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu telah menimbulkan polemik politik yang tidak membina di Sabah.
Pada masa sama katanya, ia turut mencetuskan maklum balas daripada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor. Katanya, keadaan terbabit menyebabkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan pengumuman itu apabila ditanya dalam sidang media ketika lawatannya ke Tawau, baru-baru ini kerana isu itu telah menjadi perhatian media dan rakyat di Sabah.
“Asyraf dan Saifuddin bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing, namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian itu mewakili konsensus semua gabungan parti.
“Dalam Kerajaan Perpaduan bukan hanya Umno dan PH tetapi banyak parti dan kalau di Sabah antaranya Warisan, parti-parti komponen dalam GRS serta lain-lain parti lagi justeru, mereka seharusnya teliti dalam tindakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Citra Tradisi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bersama Media di Langkah Syabas, di sini, Sabtu.
Baru-baru ini, Saifuddin dan Asyraf telah mengumumkan kerjasama BN dan PH untuk PRN Sabah, menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut memaparkan logo parti-parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.
Dalam perkembangan sama, Armizan mempersoalkan sama ada sekretariat terbabit boleh mengeluarkan kenyataan media rasmi tanpa merujuk kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Menteri KPDN itu juga mempersoalkan sekiranya badan berkenaan akan mengeluarkan kenyataan sama menjelang PRN Sarawak.
“Adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu berkaitan pilihan raya Sarawak kelak,” tegasnya.
Sehubungan itu beliau berharap Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof dapat melihat perkara itu supaya perkara sama tidak berulang di masa depan.
Menurutnya, keputusan membentuk kerjasama politik adalah hak setiap parti namun penggunaan platform Kerajaan Perpaduan bagi mengumumkan kerjasama melibatkan dua pihak adalah tidak wajar.
“Kita perlu terima keunikan lanskap politik di negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang akan berdepan dengan PRN.
“Kalau kestabilan adalah matlamat, kita harus menghormati sesama kita. Walau’kapal’ GRS mungkin dilihat kecil oleh orang tertentu, namun dengan izin Allah SWT, kapal kecil ini mempunyai muatan yang mencukupi untuk sampai ke destinasi,” tegasnya.