Kota Kinabalu: Seramai 137 jemaah haji dari Sabah yang merupakan kumpulan pertama bagi musim haji 1446H/2025M, selamat berlepas ke Tanah Suci Makkah, Sabtu malam.
Rombongan berkenaan berlepas dari Pintu A8, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 10.55 malam menggunakan pesawat khas Malaysia Airlines, MH8405 menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Setibanya di KLIA, mereka akan bergabung dengan 147 jemaah dari Selangor sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah menaiki pesawat khas MH8126 yang dijadual berlepas pada jam 4.30 pagi dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 8.25 pagi waktu Arab Saudi, hari sama.
Kumpulan ini adalah sebahagian daripada 962 jemaah haji dari Sabah yang terpilih menunaikan rukun Islam kelima pada musim ini, terdiri daripada 567 wanita dan 395 lelaki.
Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), penerbangan haji ini merupakan sebahagian daripada 100 penerbangan sewa khas yang disusun bagi membawa seramai 31,600 jemaah Malaysia ke Tanah Suci secara berperingkat.