Kota Kinabalu: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan di kaki selepas kereta Perodua Axia yang dinaikinya terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Taman Iramanis, Jalan Lintas, di sini, pada Ahad.
Ini merupakan kemalangan kedua membabitkan remaja cedera selepas kenderaan mereka melanggar pokok di laluan yang sama bulan ini. Dalam kejadian pertama, seorang remaja berusia 18 tahun mengalami kecederaan di muka dan dada.
Dalam kemalangan terbaru, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 7.32 pagi.
Tidak dapat dipastikan sama ada remaja berkenaan merupakan pemandu atau penumpang kereta terbabit.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi kira-kira empat kilometer dari balai dalam tempoh lima minit. Pasukan dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut berada di tempat kejadian untuk membantu.
Dengan menggunakan peralatan khas, pasukan penyelamat membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth.
Operasi yang diketuai oleh Saflan Sapri itu tamat pada jam 8.19 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.