SANDAKAN: Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan Elly Reachel Marcus, 24, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2025 peringkat daerah Sandakan yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan pada Sabtu.
Elly dimahkotakan oleh Unduk Ngadau Kaamatan Sandakan 2024 Joanne Elodea Jonis dan menerima hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 termasuk wang tunai RM8,000 berserta baucar pelancongan, jambangan bunga, trofi, sijil penyertaan, hamper dan selempang.
Naib johan dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Vrenda Joaan Defteneay Taji, 25, dan Fenny Joseph,26.
Vrenda menerima hadiah berjumlah RM8,000 termasuk wang tunai RM7,000, baucar pelancongan, trofi, hamper dan jambangan bunga serta sijil penyertaan manakala Fenny membawa pulang hadiah berjumlah RM7,000 termasuk wang tunai RM6,000 selain baucar pelancongan, trofi, hamper, jambangan bunga dan sijil penyertaan.
Seramai 15 jelitawan menyertai pertandingan itu pada sambutan Pesta Kaamatan Sandakan 2025 yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut merangkap Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Sabah Datuk James Ratib.