SANDAKAN: Pesta Kaamatan bukanlah satu “pesta minum arak” seperti yang dilabelkan oleh sesetengah pihak.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Datuk James Ratib berkata festival berkenaan sebaliknya satu perayaan kebudayaan dan tradisi yang menyatukan pelbagai kaum, bangsa dan agama.
Beliau berkata pesta yang diraikan sebagai acara tahunan itu diraikan oleh komuniti Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) mempunyai makna budaya yang mendalam dan bertujuan untuk menghormati tradisi khususnya legenda “Huminodun” iaitu tokoh utama dalam cerita rakyat KDMR yang melambangkan pengorbanan.
“Sesetengah orang melabelkan ini sebagai ‘pesta minum’ dan mengatakan di mana ada Kaamatan pasti ada minuman sama ada tapai atau minuman tradisional lain,”
“Pesta ini adalah untuk mengenang tradisi dan budaya kita terutamanya kisah Huminodun yang berakar umbi dalam sejarah.
“Jika kita tidak memperingatinya setiap tahun warisan ini akan hilang ditelan masa dan kita mesti menyampaikannya kepada generasi anak-anak kita,” katanya sambil menambah bahawa tanggapan terbabit adalah tidak tepat. James berkata demikian ketika berucap sempena Pesta Kaamatan peringkat Sandakan pada Sabtu.
Dalam pada itu James turut menekankan makna yang lebih luas dalam perayaan Kaamatan dengan mengatakan bahawa ia bukan sahaja mengenai pemeliharaan budaya tetapi berkaitan pertumbuhan ekonomi dan perpaduan sosial.
Beliau berkata perayaan berkenaan membantu merangsang ekonomi tempatan, memberikan peluang kepada peniaga kecil, penggiat seni dan perniagaan tempatan di samping mempromosikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan dengan tarikan seperti Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo dan Rumah Agnes Keith.
Sementara itu beliau menggesa komuniti agar menggunakan platform Pesta Kaamatan untuk mengeratkan hubungan sosial, memupuk nilai inklusiviti dan semangat perpaduan tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.