Kota Kinabalu: Sebuah syarikat didenda RM60,000 atau penjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda itu apabila gagal memastikan keselamatan pekerjanya sehingga menyebabkan kematian seorang pekerja dan mencederakan seorang lagi.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd menjatuhkan hukuman itu terhadap Mercu Binaraya Sdn Bhd selepas wakilnya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas syarikat.
Syarikat itu didapati gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja kontraktor kecilnya ketika kerja penggantian pelulas bagi kerja Penggerudian Arah Mendatar (HDD), yang menyebabkan kematian Muhammad Syamiezan Awang dan mencederakan Mohammad Aswad Hidayat.
Kesalahan itu berlaku pada jam 3.30 petang, 26 Oktober 2024, di tepi jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Sulaman, dekat sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, peguam Lindsay Michael yang mewakili syarikat itu memohon agar mahkamah mengenakan denda yang lebih rendah terhadap anak guamnya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwaan Jinurah Sintian dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan sebagai amaran kepada pihak lain yang berpotensi melakukan kesalahan sama.
Mahkamah diberitahu bahawa Dosh Sabah telah menerima maklumat mengenai kejadian kemalangan di tempat kerja itu melalui satu hantaran Facebook pada jam 5.20 petang, 26 Oktober 2024.
Hantaran bertajuk “Pekerja pemasangan paip maut selepas terkena batang gerudi”, itu melaporkan kejadian maut pada hari berkenaan.
Pada jam 9 pagi, 27 Oktober 2024, sepasukan pegawai dari Dosh Sabah tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan awal. Penemuan awal menunjukkan bahawa kemalangan itu melibatkan dua pekerja am dari Rasmart Sdn Bhd iaitu Muhamad Syamiezen dan Mohammad Aswad.
Kedua-dua mereka sedang menjalankan kerja penggantian komponen pelulas pada mesin HDD, yang digunakan untuk kerja penggerudian dan pemasangan paip bawah tanah jenis Polietilena Ketumpatan Tinggi (HDPE).
Sebelum kejadian, Muhamad Syamiezen menggunakan alat khas untuk membuka sambungan pelulas daripada batang HDD. Tiba-tiba, alat terbabit berpusing bersama-sama dengan batang HDD, lalu terkena kepala mangsa yang sedang mencangkung. Muhamad Syamiezen disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Rakannya, Mohammad Aswad hanya mengalami kecederaan ringan.
Siasatan lanjut mendapati kerja HDD itu merupakan sebahagian daripada projek infrastruktur bertajuk “Menyiapkan Projek Agihan – PPU Gudon/Telipok, Kota Kinabalu, Sabah.” Kontraktor utama projek tersebut adalah Mercu Binaraya Sdn Bhd, manakala Rasmart Sdn Bhd dilantik sebagai kontraktor kecil khas untuk operasi HDD.
Didapati bahawa kontraktor utama telah gagal menjalankan penilaian risiko bagi tugas penggantian pelulas HDD terbabit.