TAWAU: Seorang pemandu lelaki yang tular dalam video kerana secara tiba-tiba menukar lorong dan melanggar seorang penunggang motosikal dipenjara sehari dan didenda RM7,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Riduan Ibuan, 39, menerima hukuman itu daripada Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas mengaku bersalah memandu Isuzu D-Max tanpa mengambil kira keselamatan sehingga menyebabkan kemalangan.
Riduan melakukan kesalahan itu di Batu 3, Jalan Apas, kira-kira jam 1 petang pada 21 Mac tahun ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah Akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Riduan, seorang kontraktor, memandu dari Bataras menuju ke bandar Tawau, manakala mangsa yang merupakan seorang pengawal keselamatan menunggang motosikal Honda dari arah Batu 4, Tawau Lama.
Ketika melalui jalan lurus di lorong kanan, Riduan secara tiba-tiba menukar lorong ke kanan sebaik tiba di simpang keluar ke Taman Megah Jaya dan memasuki lorong keluar yang dikhaskan untuk kenderaan keluar sahaja.
Disebabkan jarak yang terlalu dekat, mangsa melanggar bahagian kanan kenderaan Riduan walaupun sudah menekan brek. Mangsa mengalami kecederaan manakala Riduan bebas dari kecederaan.
Semasa mitigasi, Riduan memohon agar tidak dikenakan hukuman penjara dan menyatakan dia hanya mempunyai RM4,000 untuk membayar denda.
Namun, mahkamah menegur tindakan Riduan dan menyatakan bahawa lokasi kejadian bukanlah kawasan yang dibenarkan untuk membuat pusingan U, dan kesilapannya telah menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
“Kalau kamu berani buat begitu (pusingan U di kawasan yang bukan pusingan U), maksudnya kamu sudah biasa buat dan kali ini saja yang tidak bernasib baik,” kata hakim dengan nada tegas.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau ASP Joan Lee, memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada Riduan.
Beliau berkata, kes itu membabitkan kepentingan awam dan tular di media sosial, dan Riduan yang memegang kad pengenalan pemastautin sementara yang sah sehingga 28 Ogos 2027, sepatutnya lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang di Malaysia.