Kota Kinabalu: Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) berkata pihaknya telah mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kelewatan dan memastikan penghantaran mengikut jadual dapat dilaksanakan.
Sebagai maklum balas kepada kenyataan Persatuan Industri Perkayuan Sabah (STIA) mendakwa cabaran operasi dan tunggakan penghantaran di Pelabuhan Tawau, SPSB berkata pengendali pelabuhan itu komited untuk memberikan keutamaan kepada proses tambatan dan pemuatan 200 kontena daripada STIA, yang dijadual berlepas pada 24 Mei ini.
Sebagai sebahagian daripada pelan kontingensi yang dipersetujui bersama, SPSB telah mencadangkan penggunaan kren kapal sekiranya kren pelabuhan masih belum beroperasi.
“SPSB telah menunaikan tanggungjawabnya dalam perjanjian ini dan memastikan pelabuhan terus beroperasi sepenuhnya untuk memudahkan penghantaran segera itu,” kata SPSB dalam satu kenyataan pada Jumaat.
“Malangnya, penghantaran tersebut tidak dapat dilaksanakan berikutan keputusan syarikat perkapalan untuk mengeluarkan Tawau daripada jadual mereka — satu faktor di luar kawalan kami.”
SPSB menolak tanggapan bahawa isu peralatan sementara di pelabuhan itu menjadi punca tunggakan penghantaran, sebaliknya menekankan kepentingan mempelbagaikan rakan penghantaran bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu laluan dan mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan.
“Kami menggalakkan ahli STIA untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat perkapalan bagi mengelakkan kebergantungan kepada satu penyedia sahaja yang meningkatkan kerentanan terhadap gangguan perkhidmatan,” katanya.
SPSB menegaskan bahawa pihaknya sedang menangani situasi ini dengan “penuh komitmen”, mengerahkan kepakaran dalaman dan luaran sambil mengekalkan komunikasi berterusan dengan pemegang kepentingan.
SPSB memaklumkan pasukan mereka di Tawau sentiasa berhubung dengan ejen penghantaran dan pelanggan, memberikan kemas kini masa nyata berkaitan status peralatan dan pelan operasi.
“Sebarang dakwaan bahawa SPSB gagal melibat urus atau memberi makluman kepada pihak berkepentingan amat dikesali,” kata syarikat itu, menekankan bahawa dialog awal dan makluman telus telah menjadi tonggak utama dalam strategi tindak balas mereka.
Mesyuarat pihak berkepentingan pada 14 Mei yang dianjurkan SPSB di Tawau dihadiri wakil STIA, Dewan Perniagaan Cina Tawau, Persatuan Ejen Perkapalan Sabah, Persatuan Penghantar & Lori Tawau, Lembaga Pelabuhan Sabah dan pegawai kanan SPSB.
Perbincangan menumpu kepada penyelesaian segera dan pelan jangka panjang, termasuk perolehan dua kren gantri kapal-ke-darat baharu yang dijangka tiba hujung tahun ini.
“Sesi ini menjadi platform untuk menjawab kebimbangan pihak berkepentingan, meneroka langkah interim yang praktikal serta memberi jaminan bahawa SPSB sedang mengambil semua langkah sewajarnya bagi menyelesaikan situasi ini dan mengelakkan ia berulang,” menurut kenyataan itu.
SPSB berkata salah satu kren pelabuhan telah dibaik pulih sepenuhnya dan kembali beroperasi dengan semua sistem keselamatan berfungsi mulai 2 petang 22 Mei.
Kerja-kerja membaiki kren kedua masih diteruskan, membabitkan tiga pasukan jurutera SPSB, pakar bebas dan juruteknik dari pengeluar peralatan asal.
“Usaha pembaikan ini memerlukan penglibatan intensif dan dibimbing oleh penilaian profesional dengan keutamaan terhadap keselamatan, keutuhan teknikal dan kelestarian operasi.”
Sebagai pengendali pelabuhan yang dibiayai sendiri, SPSB turut mendedahkan pelaburan sebanyak RM70 juta bagi mendapatkan dua kren dermaga baharu, sebagai sebahagian daripada komitmen memperkukuh keupayaan dan kebolehpercayaan Pelabuhan Tawau.
“Kami berharap ini membuktikan komitmen jangka panjang kami untuk terus berkhidmat kepada komuniti perniagaan Tawau dengan lebih baik,” kata SPSB, sambil menambah mereka terbuka untuk terus bekerjasama dengan STIA dan semua pihak berkepentingan.
Dalam masa terdekat, keutamaan SPSB kekal pada pemulihan sepenuhnya kren kedua, sambil memastikan pelabuhan beroperasi tanpa gangguan menggunakan kren yang telah berfungsi, sehingga peralatan baharu tiba.