SANDAKAN: Dua lagi bekas pegawai institusi kewangan di sini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Mei bagi siasatan kes pinjaman RM11.3 juta antara 2022 hingga 2024 melibatkan 39 peminjam.
Majistret Siti Aisyah Umar Baki membenarkan permohonan reman itu yang dibuat pada Jumaat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas dua lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM pada Khamis.
Sebelum ini, lima lelaki, termasuk empat pegawai bank, direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes kelulusan pinjaman berkenaan.
Kesemua suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan 39 permohonan pinjaman kewangan itu dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebagai dorongan untuk melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.