LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok bernilai hampir RM150,000 di Kampung Puyut, Khamis lalu.
Komander Marin Wilayah Empat Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil risikan dan pemantauan, pasukannya menyerbu satu kawasan bakau dan menemui 387 karton rokok dipercayai tanpa cukai.
Mohd Nazri berkata, rokok itu terdiri daripada 238 karton Astro Black Menthol dan 149 karton A 1 Mild Menthol.
“Rokok itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan disimpan di kawasan bakau bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM149,318.40 dibawa ke pangkalan PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya, menambah siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kastam 1967.
Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.