TAWAU: Polis menangkap seorang lelaki warga asing yang dipercayai memiliki dokumen MyKad orang lain di sebuah tempat penginapan di sekitar Daerah Tawau, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata penahanan terhadap suspek dilakukan sepasukan polis Strike Team Balai Polis Tawau semasa menjalankan rondaan cegah jenayah.
“Pasukan polis diketuai Inspektor Hamka Ab Rashid menahan lelaki itu selepas melihatnya dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bangunan,” katanya, di sini pada Ahad.
Jasmin berkata lelaki itu juga cuba melarikan diri semasa pemeriksaan hendak dijalankan terhadap dirinya namun berjaya ditangkap oleh anggota polis yang bertugas.
Menurutnya semasa siasatan awal suspek secara lisan mengaku mempunyai dokumen pengenalan diri tetapi hasil pemeriksaan mendapati dokumen yang ada bukanlah miliknya.
“Pasukan polis menahan suspek selepas menemui dua keping MyKad, satu keping MyKid dan satu sijil kelahiran yang tertera nama pemilik lain dari dalam dompet lelaki terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut hasil siasatan turut mendapati lelaki itu sebenarnya adalah warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah untuk tinggal di negara ini.
Menurutnya suspek dan barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut selepas dokumen yang ditemui dipastikan bukan miliknya.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 25 (1) (o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Siasatan terhadap suspek turut dibuka di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk masuk dan tinggal di Malaysia,” katanya.