Kota Kinabalu: Kerjasama dengan parti nasional disifatkan mampu membangunkan Sabah tanpa perlu membelakangkan hak rakyat.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas Datuk Mohammad Bahrin Abd Karim berkata semua pihak harus berlapang dada untuk bekerjasama.
“Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini sudah menyatakan kita tiada halangan untuk menjalin kerjasama dengan parti luar.
“Bagaimanapun kerjasama itu harus berpotensi memberi keuntungan kepada Sabah dan rakyatnya.
“Setakat ini belum ada keputusan dibuat namun segala keputusan mesti mencapai permuafakatan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Likas 2025 pada Sabtu.
Terdahulu Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali memberitahu parti itu sudah mengenalpasti kerusi yang berpotensi untuk menang di Sabah.
Azmin turut menyatakan rundingan bersama parti politik tempatan Sabah akan terus dipupuk bagi membina kekuatan dan persefahaman demi kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.
Dalam pada itu Mohammad Bahrin memaklumkan usul yang nyatakan Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas Halizah Din berkenaan GRS bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang hanyalah usul yang dibuat berdasarkan penelitian terhadap trend di laman media sosial.
Beliau berkata usul terbabit melihat kepada suara-suara akar yang menyatakan hasrat mereka untuk melihat GRS bertanding secara solo.
Sementara itu Mohammad Bahrin berkata Gagasan Rakyat Likas kini meletakkan fokus mempunyai ahli yang berkualiti serta mampu menyumbang kepada parti.
Katanya ia berikutan ramai ahli yang hadir pada persidangan terbabit kebanyakannya terdiri daripada muka baharu.