Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM10,000 atau penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda, kerana menjadi orang tengah bagi menawarkan khidmat seks kepada seorang lelaki.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Amiliana Pius Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh pada Selasa.
Amiliana didapati bersalah menjadi orang tengah antara lelaki terbabit dan seorang wanita berusia 20 tahun dalam tawaran khidmat pelacuran pada kadar RM350 untuk setiap kali perkhidmatan, kira-kira jam 11.30 malam pada 2 Februari 2022 di sebuah unit apartmen di sini.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 372(1) kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun, sebatan, dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan permohonan Amiliana untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun denda itu perlu dijelaskan pada Selasa.
Notis rayuan perlu difailkan selewat-lewatnya pada 28 Mei tahun ini.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi manakala pihak pembelaan hanya mengemukakan seorang saksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sofia Sawayan manakala peguam Jack Sumatera mewakili Amiliana.