Kota Kinabalu: Usaha murni sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang menyediakan perkhidmatan ambulans percuma kepada rakyat Sabah, terus mendapat suntikan semangat apabila Hospital Lahad Datu tampil menghulurkan sumbangan berupa katil pengusung (stretcher) bagi memperkasa operasi harian mereka.
Sumbangan itu bukan sahaja membantu melancarkan perkhidmatan menyelamat, malah menjadi simbol sokongan institusi kesihatan awam terhadap inisiatif kebajikan masyarakat yang digerakkan oleh Persatuan Amal dan Jariah Sabah, atau lebih dikenali sebagai Team Amal.
Menurut pengasas Team Amal, Masrul Guding, pemberian alat pengusung tersebut amat bermakna kerana ia membantu memaksimumkan operasi ambulans yang sebelum ini terhad.
“Hadiah ini sangat berharga bagi kami kerana secara tidak langsung ambulans percuma ini dapat beroperasi sepenuhnya.
“Sebelum ini kami kekurangan pengusung dan operasi ambulans agak terhad disebabkan kesukaran mengangkat pesakit yang terbaring,” katanya kepada pemberita pada Ahad.
Katanya lagi, pemberian tersebut juga secara tidak langsung menunjukkan sokongan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan Team Amal di Sabah.
“Ketika ini, Team Amal mengendalikan dua van ambulans yang beroperasi secara aktif di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.
“Kami turut merancang untuk memperluaskan perkhidmatan tersebut ke daerah besar lain di Sabah pada masa akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, Masrul merakamkan penghargaan kepada kakitangan Hospital Lahad Datu yang sentiasa membantu kelancaran perkhidmatan ambulans mereka.
“Jutaan terima kasih kepada kakitangan Hospital Lahad Datu atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada Team Amal,” katanya.
Untuk rekod, Team Amal turut menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kepada rakyat Sabah, dengan empat van kini beroperasi di seluruh negeri.