SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan dua percubaan oleh dua bot laju untuk menyeludup masuk migran melalui perairan Pulau Boheian pada Ahad.
Komander Marin Wilayah Empat Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, berkata dua bot laju itu ditahan dalam Ops Taring Gelora yang dijalankan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati bot laju itu membawa 25 penumpang dan cuba memasuki negeri ini tanpa kebenaran.
“Tekong bot itu mengaku mereka dibayar dan datang dari Filipina serta mahu memasuki Semporna,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mohd Nazri berkata kesemua yang ditahan dan rampasan dianggarkan bernilai RM65,237 dibawa ke pangkalan Marin Semporna untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata penyeludupan manusia adalah satu perkara yang serius, terutama di pantai timur, dan polis sentiasa mengawasi perkara ini.
PPM akan terus mempergiatkan rondaan dan operasi serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negeri ini atau terlibat dalam penyeludupan migran.
Orang ramai digesa untuk menyampaikan sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah dengan menghubungi PPM di talian 088-454819 atau melalui Facebook Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah.