LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyamar sebagai pegawai polis trafik bagi menyelesaikan kes kemalangan di Kunak Februari lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Supt Jimmy Panyau, berkata susulan kemalangan pada 3 Feb lepas di Ladang Giram, Kunak, suspek mendakwa dirinya sebagai anggota polis trafik dan saksi kemalangan itu.
“Suspek kemudian memberi tawaran kepada mangsa untuk menyelesaikan kes kemalangan itu dengan menuntut wang untuk kerja-kerja pembaikan.
“Bagaimanapun, mangsa mendapati suspek bukan anggota polis dan percaya dia telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan.
Jimmy berkata, suspek turut disenaraikan sebagai orang dikehendaki dan mempunyai dua rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan.
Katanya, suspek kini dalam tahanan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jimmy menambah, mereka telah memohon reman untuk menyiasat suspek.