Kota Kinabalu: Sektor swasta, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) diseru untuk terus menyokong dan memainkan peranan dalam melaksanakan projek yang mampu menyerlahkan keindahan semula jadi bandaraya ini sebagai tarikan ekopelancongan yang berpotensi besar.
Mayor Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata terdapat NGO yang berusaha sedaya upaya untuk bekerjasama dengan agensi lain dalam merancang dan melaksanakan projek pemulihan ekosistem, yang turut meletakkan asas kepada pembangunan ekopelancongan.
Sebagai contoh, Sabin memetik inisiatif oleh Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl) bersama komuniti Kampung Darau dan rakan strategik lain, yang bukan sahaja memelihara alam sekitar Sungai Darau, tetapi juga memperkenalkan dimensi baharu dalam pembangunan sosioekonomi setempat.
“Sebagai sebuah bandar yang terkenal dengan keindahan semula jadi dan biodiversiti, Kota Kinabalu sangat memerlukan inisiatif seperti ini agar keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian dapat dikekalkan.
“Projek ini menumpu kepada pemulihan ekosistem paya bakau menerusi penanaman lebih 6,000 anak pokok, serta memperkenalkan program pemuliharaan kelip-kelip berdasarkan kajian saintifik dan lapangan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Apa yang lebih mengagumkan ialah pendekatan holistik yang diambil, merangkumi elemen pendidikan, kesedaran komuniti, pelancongan regeneratif dan penglibatan belia sebagai teras utama,” katanya semasa melancarkan Projek Kelip-Kelip untuk Memulihara Paya Bakau dan Habitat Kelip-Kelip di Kampung Darau, di sini, Ahad lalu (25 Mei).
Turut hadir, Presiden RCKK Pearl Chenderamata Sinteh, Naib Presiden Datin Dr Jeanette Tambakau, serta bekas presiden Rosie Chong dan Datuk Eliza Goh.
Menurut Sabin, projek seperti itu memberi kesan positif bukan sahaja terhadap kawasan fizikal seperti kawasan Tanah Lembap Darau, tetapi juga memperkaya minda komuniti dan pengunjung tentang nilai serta fungsi alam semula jadi.
Beliau turut menyifatkan projek ini sebagai contoh terbaik bagaimana inisiatif pemuliharaan mampu menjadi pemangkin kepada inovasi sosial dan ekonomi, sekali gus membentuk ekosistem lestari antara manusia dan alam sekitar.
“Saya amat menghargai pendekatan pembangunan komuniti yang diamalkan, di mana Koperasi Darau Berhad dan Darau Wetland Eco-Tourism memainkan peranan penting agar manfaat projek ini dapat dinikmati secara langsung dan berpanjangan oleh penduduk setempat,” katanya.
Sabin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menunjukkan komitmen dan memainkan peranan penting dalam menjayakan projek ini, termasuk kerjasama dengan organisasi dari luar negara.
Katanya, kolaborasi itu mencerminkan semangat solidariti rentas sempadan yang perlu diperkasakan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar.
“Kerjasama dengan UMS sebagai peneraju penyelidikan, sokongan kewangan daripada Yayasan Kelab Rotary Malaysia, serta penglibatan aktif ahli Rotary dari luar negara seperti RC Makati Emerald, RC Metro KL, RC Kulai Johor dan RC Taichung Hui Min dari Taiwan, jelas membuktikan agenda pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja bersifat lokal tetapi juga global.
“Projek ini selaras dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti tindakan terhadap perubahan iklim, pemuliharaan kehidupan akuatik dan daratan serta pembangunan komuniti inklusif dan lestari.
“Dengan jumlah sasaran pembiayaan RM69,275, saya percaya pulangan sosial, alam sekitar dan ekonomi daripada projek ini jauh melebihi nilai kewangannya,” tambahnya.
Projek Kelip-Kelip di Kg Darau Laut, Manggatal merupakan inisiatif ekopelancongan dan pemuliharaan yang bertujuan memulihara ekosistem paya bakau, habitat kelip-kelip dan mempromosikan ekopelancongan mampan di Sabah yang dilaksanakan oleh RCKK Pearl.
Sementara itu, Chenderamata berkata projek ini merangkumi penanaman sekitar 6,000 pokok bakau, pelancaran inisiatif pemuliharaan kelip-kelip ‘Let’s Make Them Glow Again’, aktiviti menyusuri Sungai Darau menaiki bot, serta bengkel ekologi oleh UMS dan pakar tempatan.
Sebagai kesinambungan projek pada 2017 dan 2018, beliau berkata penanaman pokok tersebut turut dilaksanakan bersama komuniti Darau bagi menjadikan kawasan ini sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan komuniti yang kini direalisasikan.
Dengan kemudahan sedia ada, beliau berkata pengunjung boleh menikmati keindahan semula jadi melalui pelayaran sungai yang memperlihatkan keindahan alam yang masih wujud dalam bandar.
“Kami (RCKK Pearl) memulakan projek penanaman bakau sejak 2017 dan 2018 dan tahun ini ia diperkukuh dengan kerjasama bersama komuniti Darau.
“Hasil perbincangan dengan ketua kampung dan ahli koperasi, kami dimaklumkan bahawa UMS sedang menjalankan kajian mengenai pemuliharaan dan pemulihan habitat kelip-kelip di kawasan ini.
“Kami turut bersetuju untuk bekerjasama dalam program pemuliharaan ini kerana ekosistem di sini amat sesuai untuk pemulihan kelip-kelip,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong projek ini.