TAWAU: Dua suspek pengedar dadah yang ditangkap di kawasan Lapangan Terbang Tawau (LTT) bersama sejumlah 2, 493.45 gram syabu minggu lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Leong Kong Wai, 44, dan Revinson Ester Anak Mawat, 21, selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Kedua-dua lelaki ini didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 2, 493.45 gram di kawasan Balai Ketibaan LTT di antara jam 9.25 malam dan 10.15 malam pada 17 Mei 2025.
Mereka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati.
Mahkamah menetapkan 7 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia dan kedua-dua tertuduh terus ditahan tanpa ditawarkan sebarang jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam, manakala, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Media sebelum ini melaporkan, dua suspek yang berasal dari Perak dan Sarawak itu ditangkap kerana mencurigakan di kawasan LLT.
Kedua-duanya dikatakan baharu tiba dari Kuala Lumpur ke Tawau dengan menaiki dua pesawat komersil yang berbeza dan dadah dianggarkan bernilai RM87, 000 terbabit ditemui disembunyikan di dalam bagasi salah seorang suspek.