KOTA MARUDU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya diingatkan agar tetap bekerja keras dengan ikhlas bagi memastikan kemenangan meski calon yang ditetapkan presiden parti nanti bukan dari kalangan atau pilihan mereka.
Ketuanya, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, kaum wanita memainkan peranan penting, keistimewaan wanita dalam sesebuah parti tidak boleh disangkal lagi apatahlagi menjelang pilihan raya, namun kuasa pucuk pimpinan adalah penentu segalanya termasuk pemilihan calon.
Azizah berkata, rakyat sentiasa memerhati, oleh itu wanita khususnya harus bangkit melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang sewajarnya demi masa depan negeri Sabah yang kini diterajui kerajaan GRS.
Azizah mengingatkan bahawa sekiranya GRS hilang kuasa, maka tiada lagi cerita ‘rumah kita, kita jaga’ ‘Sayangi Sabah’ dan ‘Sabah Maju Jaya’. Sebab itu pentingnya kesedaran yang tinggi dikalangan wanita khususnya.
Azizah berkata demikian Ketika berucap pada majlis Pelancaran G10 Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Bandau yang turut dihadiri oleh Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda.
G10 Gagasan Rakyat Bahagian Bandau disertai oleh seramai 1, 000 orang buat masa ini dan seramai hampir 800 orang hadir pada majlis pelancaran yang diadakan di Dewan Komuniti Kota Marudu baru-baru ini.
Katanya, meskipun beliau yakin bahawa wanita akan melakukan pelbagai penambahbaikan sekiranya dipertanggungjawabkan, namun semua pihak harus akur sekiranya calon yang dipilih nanti bukan dari kalangan wanita.
“Saya pantau dan perhatikan kamu semua, saya ingin memastikan kamu semua benar-benar melaksanakan tugas dan bekerja keras. Kalau kita benar-benar sayang Sabah ini, maka berjuanglah.
“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, maka jangan sesekali terlintas dalam pikiran kamu, kalau bukan Datuk Redonah jadi calon, kami tidak mahu bekerja. Tidak boleh ya,” nasihatnya.
“Ingat ya, kita perlu setiap kerusi yang kita tanding itu menang, apapun cemuhan jangan sesekali menggugat kita, yang penting kita sama-sama mencapai kejayaan nanti.
Dalam perkembangan lain, Azizah mengumumkan akan ada sebuah kementerian wanita diwujudkan di negeri Sabah pada musim PRN ini bagi menjaga pelbagai permasalahan berkaitan khususnya di peringkat akar umbi.