TAWAU: Seorang pemandu wanita ditahan selepas mengamuk bersenjatakan parang di hadapan sebuah premis perniagaan di Bandar Tawau, di sini, pada Ahad.Motif dan punca sebenar perbuatan itu masih disiasat.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek berumur 39 tahun itu ditahan semasa memandu sebuah kereta jenis Proton Saga kerana dilihat berkelakuan mencurigakan.
“Penahanan dibuat apabila suspek dilihat bertindak agresif sambil memegang senjata berbahaya dalam kejadian kira-kira jam 5 petang,” katanya, di sini.
Jasmin berkata maklumat awal insiden itu diterima daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Tawau sebelum sepasukan anggota rondaan Bit digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba anggota polis yang melihat wanita itu memegang sebilah parang bertindak menahan suspek untuk mengelak berlakunya kejadian lebih buruk.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan anggota polis bertugas turut membawa kepada penemuan sebilah kapak dari dalam bonet kenderaan yang dipandu wanita berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua senjata tajam dan kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas manakala siasatan pula dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).
“Kita menyeru orang ramai segera melaporkan maklumat berkaitan kejadian sebegini untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dapat terus terpelihara,” katanya.