TAWAU: Seorang anak yang tergamak membelasah bapanya sendiri dipercayai tanpa sebarang sebab munasabah ditahan di Kampung Pitas Bombalai di sini kira-kira jam 10.30 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek berumur 23 tahun itu bertindak agresif dalam kejadian yang dilaporkan berlaku 45 minit sebelum dia ditangkap.
“Insiden itu dilaporkan berlaku di sekitar kawasan perumahan pekerja dan kita menghantar sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai untuk menangkap suspek,” katanya di sini, pada Isnin.
Jasmin berkata bapa suspek yang juga seorang warga emas berumur lingkungan 60-an mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala akibat insiden berkenaan.
Mengulas lanjut, suspek cuba melarikan diri sehingga berlakunya pergelutan dengan anggota polis bertugas, sebelum ditangkap.
“Siasatan awal polis setakat ini mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, malah disyaki tidak memiliki sebab tertentu untuk memukul orang tuanya,” katanya.
Suspek yang kini dalam tahanan polis disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama (sengaja menyebabkan kecederaan).
Jasmin turut meminta orang ramai peka dengan kesihatan mental dan kawalan emosi sesama ahli keluarga masing-masing, khususnya melibatkan kaedah penyelesaian masalah secara matang.