Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 27 tahun didenda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana memecahkan beberapa cermin sebuah kereta, tahun lalu.
Nuratikah Baktiar, yang tampil di hadapan Majistret Marilyn Kelvin, mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin depan dan belakang serta cermin pintu kiri sebuah Perodua Bezza kepunyaan Marcellus Gamiun, menyebabkan kerugian berjumlah RM1,000.
Kesalahan itu dilakukan pada 29 Mei 2024, jam 10 pagi, di belakang sebuah kedai di Country Heights, Penampang.
Pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Nuratikah yang tidak diwakili memohon hukuman ringan dengan alasan dia merupakan seorang suri rumah dan mempunyai anak berusia tujuh bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, yang melakukan pendakwaan, menggesa hukuman setimpal.
Dalam kes berasingan, dua wanita dikenakan hukuman kerana terlibat dalam aktiviti perjudian haram.
Alviera Castiel, 22, diperintah membayar denda RM1,400 atau penjara sebulan kerana memiliki peralatan berkaitan perjudian.
Dia mengaku melakukan kesalahan itu dengan memiliki empat keping slip loteri haram pada 18 Mei tahun ini, jam 5.30 petang, di kaki lima sebuah kedai di pekan Donggongon, Penampang.
Alviera didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Norazuana, 23, didenda RM1,300 atau penjara sebulan kerana berjudi secara dalam talian menggunakan aplikasi “Kiss 918” di tempat awam pada 13 Februari tahun ini, jam 5.30 petang, di sebuah premis di kedai Country Heights, Penampang.
Pertuduhan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan wang tunai RM100 dan RM67 yang dirampas daripada Alviera dan Norazuana, masing-masing, dilucut hak sebagai hasil kerajaan.