Tuaran: Orang awam di pekan Tuaran di sini, cemas apabila sebuah kereta yang sedang dipandu tiba-tiba mengeluarkan asap tebal sebelum terbakar, pada Isnin.
Bagaimanapun, kebakaran di bahagian enjin kereta Proton Saga LMST itu berjaya dikawal pasukan bomba sebaik tiba di lokasi untuk memadam api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.32 petang.
Katanya, seramai enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis sedan musnah 30 peratus akibat kebakaran dan bertindak memadam api yang memusnahkan bahagian enjin hadapan.
“Mujur, kejadian disedari orang awam membolehkan pasukan bomba bertindak pantas selepas menerima aduan dan kejadian berlaku tidak jauh dari kawasan premis,” katanya.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera atau mengalami kemalangan jiwa.
“Pemeriksaan sekitar lokasi dan kenderaan turut dijalankan bagi mengesan dan mencegah bahaya lain.
“Operasi ditamatkan jam 6.40 petang manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.