Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Peluang tinggi penulis Sabah raih Anugerah Sasterawan Negara
Published on: Thursday, June 05, 2025
Published on: Thu, Jun 05, 2025
Text Size:
Text:
Peluang tinggi penulis Sabah raih Anugerah Sasterawan Negara
JASNI (ketiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Arifin di majlis itu.
TANJUNG ARU: Peluang penulis Sabah untuk meraih Anugerah Sasterawan Negara melalui Datuk Jasni Matlani pada tahun ini sangat tinggi, kata Presiden Penulis Johor, Amiruddin Ali Hanafiah.

Katanya, tidak ada seorang pun daripada 15 Sasterawan Negara yang ada sekarang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia untuk kategori A (buku), bagi tiga judul buku dalam satu masa, tetapi hal ini telah dilakukan oleh Jasni.

Advertisement
“Malah, banyak lagi kelebihan Jasni sebagai penulis Malaysia dari Sabah, yang wajar diangkat menjadi penerima anugerah Sasterawan Negara ke-16 berdasarkan rekod pencapaian beliau yang cemerlang dalam bidang penulisan dan gerakan sastera pada peringkat negara dan serantau selama ini.

“Oleh itu, pemilihan Sasterawan Negara tahun ini mesti berdasarkan kualiti sebenar daripada segi ketekalan berkarya, aura kepimpinan, sumbangan pemikiran, buku berkualiti yang beliau hasilkan dalam pelbagai genre dalam tempoh empat dekad ini,” katanya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Sehingga kini, Jasni sudah menulis 48 judul buku dalam pelbagai genre dan beberapa naskah telah memenangi pelbagai anugerah di Malaysia. Malah beliau juga tidak pernah putus memenangi Hadiah Sastera Sabah dari 1989 sehingga 2022. Beliau turut menerima Anugerah SEA write, Anugerah Sasterawan Negeri Sabah, dan Anugerah Puisi Esei Asean. 

“Beliau sesungguhnya memenuhi semua syarat untuk diangkat sebagai Sasterawan Negara tahun ini.

Advertisement
“Karya beliau diperkatakan pada peringkat kebangsaan dan serantau. Diulas secara akademik dan disiarkan dalam majalah berprestij seperti majalah Horizon di Indonesia dan Dewan Sastera di Malaysia,” kata Amiruddin semasa membentangkan kertas kerja dalam program Wacana Pemikiran Sasterawan Negeri Sabah 2025, di lobi Perpustakaan Tanjung Aru, di sini, pada pagi Rabu.

Amiruddin, yang juga Ketua Gabungan Persuratan Melayu Malaysia (GPMM), berkata beliau tidak bersetuju sekiranya pemilihan Sasterawan Negara kali ini turut melibatkan sindrom tidak telus, menggunakan pintu belakang dan sebagainya, hanya semata-mata untuk mengangkat mereka yang tidak mempunyai pencapaian sebenar dan cemerlang dalam sastera.

Advertisement
“Biarlah pemilihan Sasterawan Negara tahun ini dilakukan secara tepat, telus dan dengan alasan yang munasabah,” kata Amiruddin.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Dr Halim Ali dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata sastera Sabah sudah berkembang dengan pesat dalam tempoh lebih 75 tahun dan mustahil tidak boleh melahirkan seorang Sasterawan Negara – dan Jasni adalah figura kuat untuk diangkat sebagai Sasterawan Negara ke-16.

“Membaca pencapaian beliau selama ini dalam bidang sastera, saya terkedu. Keunggulan, pengiktirafan yang diterimanya, karisma kepimpinan beliau dalam gerakan sastera, kualiti karya dan bukunya yang memenangi pelbagai anugerah, sama ada pada peringkat negeri Sabah, kebangsaan dan serantau amat membanggakan.

“Ini termasuk empat buku beliau yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia kategori A (buku), meletakkan beliau dalam kelas tersendiri serta berada di suatu tempat yang sukar ditandingi oleh mana-mana penulis Malaysia sekarang dan sezaman dengan beliau,” kata Halim.

Katanya, Jasni turut menganjurkan banyak program bertaraf antarabangsa dan berimpak tinggi, antaranya Festival Puisi Esei Antarabangsa, yang diadakan untuk kali keempat di Sabah pada tahun ini.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif itu turut memperkatakan Arifin sebagai sosok sasterawan besar Sabah yang menyumbang dalam konteks khazanah sastera negara.

Keterlibatan Arifin dalam bidang penulisan diperkatakan oleh Dekan Fakulti dan Penataran Bahasa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Ismail Ali, dan juga bekas pensyarah UM merangkap Presiden Pena Dr Mohamed Saleeh Rahamad.

Ucaputama yang memperkatakan keterampilan kedua-dua tokoh dalam konteks sastera negara dan serantau ini disampaikan oleh Senator Dato Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan.

Turut hadir, Hakim Mahkamah Industri Malaysia Sabah Datuk Indra Haji Ayub, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah George Yih Ching Yaw, Pengarah Hal Ehwal Korporat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Dr Benedick Oliver Lidadun dan Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, Juliana Kuli.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here