Kota Kinabalu: Parti Kerjasama Anak Negeri (PKAN) membantah keras kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sabah baru-baru ini berhubung rundingan mengenai tuntutan negeri, termasuk hasil minyak dan gas.
Presidennya Datuk Henrynus Amin berkata, Perdana Menteri dalam kenyataannya bersedia menunaikan hasrat Sabah sama seperti Sarawak, tetapi menegaskan ia mestilah berdasarkan rundingan dan bukannya meminta dengan cara ‘menjerit atau mengutuk.’
“Kami dengan tegas menolak cara Perdana Menteri melabel kita. Saya menolak tuduhan itu sebab ‘Sabah bukan menjerit atau memaki’ ketika membuat tuntutan.
“Apa yang kita lakukan hanyalah mempertahankan pendirian. Kita pertahan pendirian menghadapi taktik buli yang digunakan pemimpin persekutuan yang mahu Sabah mengalah dalam mengemukakan isu kritikal.
“Isu-isu kritikal yang Sabah selalu kemukakan adalah isu minyak dan gas dan tuntutan 40 peratus daripada hasil Sabah yang diambil persekutuan,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Henrynus menuduh Perdana Menteri Anwar cuba menyalahsifatkan permintaan Sabah yang sah itu dengan menuduh mereka ‘menjerit dan mengutuk.’
“Malangnya, teguran Perdana Menteri itu mengabaikan isu sebenar yang cuba kita pertaruhkan di sini,” tegasnya dan menambah pendirian Sabah bukanlah dibuat dengan perasaan yang meledak-ledak.
Beliau seterusnya menghuraikan kepentingan negara yang penting ini yang termasuk tuntutan autonomi Sabah untuk mendapatkan biaya kewangan yang lebih besar atau hak untuk mengawal lebih besar sumber kewangan Sabah sendiri.
Kepentingan kedua ialah Sabah menuntut kawalan kedaulatan ke atas sumber aslinya, khususnya minyak dan gas yang pada masa kini dikawal sepenuhnya oleh Petronas.
Sabah juga, katanya, menuntut pelaksanaan penuh dan tanpa syarat semua peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa berlengah-lengah lagi.
Kepentingan keempat yang dituntut adalah hak Sabah untuk mengawal dan mengurus imigresen dalam sempadan Sabah dan juga meminta persekutuan bertindak menyelesaikan isu-isu imigresen yang tertunggak terutamanya kehadiran besar pendatang tanpa izin di negeri ini.
“Sabah juga menuntut autonomi yang lebih besar dalam membentuk dasar dan institusi pendidikan Sabah.
“Sudah jelas tuntutan kami adalah wajar dan berakar umbi seperti yang termaktub dalam hak perlembagaan kami dan dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegas Henrynus.
Sehubungan itu, Henrynus menyeru rakyat Sabah untuk terus teguh dan bersatu dalam menuntut hak-hak mereka dalam negeri.
Beliau juga menggesa Kerajaan Persekutuan untuk tidak menggunakan pendekatan yang meremehkan rungutan rakyat Sabah, sebaliknya menghormati pandangan dan tuntutan penduduk Sabah.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya membabitkan diri dalam rundingan dengan niat baik, mengiktiraf dan menangani kebimbangan Sabah yang sudah lama wujud dengan rasa hormat dan kesungguhan yang sewajarnya.
“Hanya melalui dialog yang tulen dan komitmen terhadap kebenaran dan keadilan kita boleh membentuk Malaysia yang lebih kukuh, lebih saksama untuk semua,” tegasnya.