Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Datuk ‘Geng Upik’ antara dihukum penjara
Published on: Friday, June 06, 2025
Published on: Fri, Jun 06, 2025
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Datuk ‘Geng Upik’ antara dihukum penjara
Maslan dan Nelson.
Kota Kinabalu: Dua individu termasuk seorang bergelar ‘datuk’ yang bertindak sebagai ketua kumpulan jenayah terancang Geng Upik dijatuhkan hukuman penjara antara tiga hingga lima tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Khamis atas penglibatan mereka dalam kumpulan jenayah terancang itu.

Ahli perniagaan Datuk Maslan Sani, 42, dan Nelson Yen Yee Chung, 47, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng atas pertuduhan terhadap mereka.

Advertisement
Maslan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana menjadi anggota Geng Upik antara tahun 2015 hingga 24 Disember 2023.

Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Yen pula dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan kerana membantu Geng Upik untuk memajukan kepentingan kumpulan itu antara tahun 2023 hingga 24 Disember 2023.

Pertuduhan pilihan itu dibuat di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Advertisement
Dr Lim memerintahkan hukuman terhadap Maslan dan Yen bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 25 Disember 2023.

Ketika menjatuhkan hukuman hakim berkata mahkamah mengambil kira bahawa kedua-dua tertuduh adalah pesalah kali pertama yang mengaku bersalah lebih awal, menunjukkan penyesalan yang ikhlas serta menjimatkan masa, tenaga dan kos kepada mahkamah dan semua pihak.

Advertisement
Kepada Maslan hakim berharap beliau tidak lagi terlibat dalam perkara seperti itu dan ini menjadi kali terakhir beliau hadir di mahkamah atas kes yang sama.

Terdahulu ketika membacakan fakta kes Maslan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Nazran Mohd Sham memaklumkan mahkamah bahawa seorang pegawai polis berpangkat superintenden telah membuat laporan polis pada 23 November 2023 mengenai risikan terhadap Geng Upik yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berbahaya.

Maslan ditangkap oleh polis jam 2.30 pagi pada 25 Disember 2023 di sebuah pusat hiburan di Koidupan, Penampang manakala Nelson Yee ditahan pada jam 6.45 pagi hari yang sama di sebuah apartmen dipercayai terlibat dengan kumpulan jenayah terancang.

Siasatan yang dijalankan mendapati bahawa Maslan dikenal pasti sebagai anggota Geng Upik dan terlibat secara langsung dalam aktiviti pengedaran dadah kumpulan itu antara tahun 2015 hingga 25 Disember 2023. Maslan juga didapati memainkan peranan sebagai ketua dalam kumpulan tersebut selain menyelaras pengedaran dadah berbahaya bersama ahli kumpulan lain untuk keuntungan material.

Sementara itu dalam kes Yen mahkamah dimaklumkan bahawa siasatan mendapati tertuduh telah membantu kumpulan jenayah terancang itu antaranya dengan menghadiri mesyuarat dan membantu menguruskan urusan perniagaan dan kewangan kumpulan tersebut.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa Yen telah menyokong Geng Upik dalam memajukan kepentingan kumpulan itu.

Pihak pendakwaan turut memaklumkan mahkamah bahawa siasatan juga mendapati Geng Upik terlibat dalam kesalahan serius berkaitan pengedaran dadah di beberapa lokasi termasuk tiga kes di Tawau dan satu di Manggatal.

Kesalahan serius di Tawau termasuk:
  • Pada 2016 tangkapan di bawah Seksyen 39B melibatkan individu yang membantu Geng Upik iaitu Syafilah Pawawoi, yang dihukum penjara 12 tahun.
  • Pada 2017 di Manggatal rampasan 4.6kg syabu yang dikaitkan dengan Geng Upik.
  • Pada 2020 rampasan 53kg syabu di mana dadah itu juga dikaitkan dengan kumpulan yang sama.
  • Pada 2023 tangkapan individu yang membantu Geng Upik di bawah Seksyen 39B yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau.

Dalam rayuan peguam Hamid Ismail yang mewakili Maslan memohon hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh penangkapan dengan hujah bahawa Maslan mengaku salah, pesalah kali pertama, bapa tunggal kepada sembilan anak menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.

Manakala peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Yen memohon hukuman penjara dua tahun dari tarikh penangkapan atas alasan Yen mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula, pesalah kali pertama, menyesal dan tidak tahu Geng Upik terlibat secara langsung dalam aktiviti pengedaran dadah.

Namun begitu pihak pendakwaan menegaskan kepentingan awam dan perlunya hukuman berbentuk pencegahan memandangkan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.

Maslan dan Yen adalah antara 15 individu yang didakwa atas kesalahan itu.

Bagaimanapun pada 18 dan 20 Mac lalu 10 daripada mereka telah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membantu kumpulan jenayah terancang antara 15 Jun dan 24 Disember 2023.

Pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan itu ditawarkan oleh pihak pendakwaan selepas menerima surat representasi mereka.

10 individu berkenaan ialah Mahathir Jibarail, 49; Mohd Faridzul Asmahadi, 32; Mohd Fikri Asme, 29; Manan Ungok @ Salleh, 52; Mohd Fauzie Rablin, 34; Fazrul Bahar, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 38; Mazlan Mahmud, 49; Alkan Abraham, 36; dan Norsyafilah Pawawoi, 28.

Sementara itu tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada 15 hingga 18 Julai dikekalkan untuk tiga tertuduh yang masih dibicarakan ialah Zulkahar Dusing, 38; bekas Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Tawau, Insp Rahman Burijin, 44; dan anggota Pasukan Gerakan Am, Sarjan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45.

Bersama TPR Nazran adalah TPR Lina Hanini Ismail, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzwan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here