TAWAU: Polis menangkap seorang lelaki tempatan yang disyaki membelasah bekas isterinya sehingga mengalami kecederaan di sebuah kawasan perumahan di Jalan Kubota, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek berumur 36 tahun itu diberkas oleh sepasukan polis kira-kira jam 12 tengah hari.
“Mangsa berumur 31 tahun mengadu punca kecederaan pada bahagian muka dan badannya akibat perbuatan bekas suaminya,” katanya di sini, pada Jumaat.
Jasmin berkata suspek dilaporkan mendatangi bekas isterinya di tempat kerja di salah satu premis di Kubota Square Tawau kira-kira jam 4.50 pagi sebelum memukul wanita terbabit.
Mengulas lanjut, tindakan agresif lelaki terlibat dipercayai berlaku apabila permintaannya untuk berbaik-baik semula dengan bekas isterinya itu tidak diterima oleh wanita berkenaan.
“Mangsa turut mengadu kejadian terbabit bukan pertama kali berlaku kerana dirinya selalu dipukul oleh suspek sebelum memutuskan untuk tampil membuat laporan polis,” katanya.
Menurutnya, suspek kini berada dalam tahanan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau lelaki terbabit juga mendapati dia pernah menerima hukuman di bawah Seksyen 5 (1) (a) (ii) Ordinan Hiburan Awam 1958.