KOTA KINABALU: Floating Club House @ Gaya Island yang unik dengan kapasiti 110 orang pada satu-satu masa muncul sebagai tarikan pelancongan baharu pertama seumpamanya di Sabah.
Dibina secara unik di atas laut fasiliti inovatif ini menggabungkan reka bentuk mampan dengan kemudahan mewah.
Ia menawarkan ruang istirahat yang dirancang teliti untuk santai, menikmati panorama, menjamu selera dan rekreasi sekali gus mewujudkan penanda aras baharu bagi pengalaman pelancongan berasaskan laut.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata pewujudan fasiliti oleh Lazy Cat International Travel Service Co Ltd itu dilihat sebagai satu lagi pelaburan berwawasan dalam portfolio syarikat berkenaan dan menandakan pencapaian penting dalam evolusi produk pelancongan Sabah.
“Ini adalah satu produk pelancongan baharu untuk negeri ini.
“Ia mencerminkan kuasa kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta dalam meningkatkan pelancongan bernilai tinggi di negeri kita.
“Dengan adanya destinasi pelancongan baharu ini saya berharap lebih ramai pelancong dari China, Korea, Jepun dan negara lain akan tertarik datang ke Sabah,” katanya difahamkan sebuah fasiliti sama sedang dirancang di Kota Kinabalu.
Liew berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Floating Club House @ Gaya Island pada Jumaat.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Liew menyatakan Sabah terus menarik minat pelabur berfikiran jauh yang mengolah keunikan alam semula jadi menjadi produk pelancongan yang luar biasa dan tersendiri.
Menurutnya beliau selaku Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menyokong sepenuhnya pembangunan pelancongan yang berani, mampan dan inklusif secara tempatan.