SANDAKAN: Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap Pengerusi Bahagian Tanjung Papat Lau Chi Keong menggesa kerajaan agar segera merangka “Pelan Pemulihan Sandakan” bagi menangani cabaran pembangunan yang sudah lama wujud.
Pelan cadangan itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur, penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC), pembangunan pakej pelancongan serta mekanisme pengekalan belia berbakat bagi membawa bandar kedua terbesar di Sabah itu keluar daripada kemelut pembangunan yang terpinggir sejak sekian lama.
Lau berkata kerajaan negeri perlu memberi keutamaan kepada isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang telah lama membelenggu Sandakan selain menjadikan penubuhan UTC sebagai keutamaan demi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta tahap perkhidmatan awam.
Beliau turut menyarankan penubuhan pusat inkubasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan keusahawanan tempatan dan integrasi rantaian industri.
“Kita juga perlu lebih proaktif dalam sektor pelancongan dengan membangunkan pelancongan eko, lawatan sejarah dan budaya serta laluan makanan sekali gus menjadikan Sandakan sebagai bandar transit pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Lau menekankan bahawa Sandakan memiliki sumber semula jadi dan landskap ekologi yang unik seperti Sungai Kinabatangan, hutan hujan tropika dan kawasan pemuliharaan yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan eko antarabangsa.
Bagaimanapun beliau menzahirkan kekecewaan terhadap kekurangan penyelarasan dan promosi oleh kerajaan terdahulu yang menyebabkan sumber ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya seterusnya mengekang pertumbuhan ekonomi.
Untuk pemulihan ekonomi tempatan Lau berkata isu penghijrahan tenaga mahir perlu ditangani terlebih dahulu.
“Saya menggesa wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat agar berusaha menubuhkan pusat latihan teknologi dan kemahiran bagi meningkatkan daya saing golongan belia.
“Pembangunan dan kemajuan sesebuah kawasan sangat bergantung kepada tenaga kerja berkualiti dan usaha kerajaan dalam membina modal insan adalah paling utama.
“Jika kita tidak mampu kekalkan bakat tempatan pembangunan bandar hanya akan tinggal sebagai retorik kosong,” tambahnya.
Lau turut berkata sejak pentadbiran dahulu hingga kini isu asas infrastruktur di Sandakan masih di takuk lama.
“Sebuah negara yang mendakwa dirinya demokratik tetapi membiarkan rakyat berdepan masalah sama setiap tahun tanpa sebarang perubahan atau harapan — demokrasi seperti ini sebenarnya adalah satu tragedi buat rakyatnya,” jelasnya.
Namun Lau memuji Presiden Majlis Perbandaran Sandakan baharu Walter Kenson kerana menunjukkan hasil dalam pengurusan kebersihan bandar untuk tempoh kurang daripada empat bulan memegang jawatan.
Beliau menyeru rakyat supaya bijak memilih wakil rakyat dalam pilihan raya negeri akan datang khususnya wakil dari parti tempatan yang berwawasan dan berdaya tindakan untuk memperjuangkan semula 20 peruntukan perlembagaan penubuhan negara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi hak Sabah.