KIULU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menggesa Kerajaan Sabah menambah kakitangan untuk menjalankan operasi Pengurusan Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) di Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Beliau difahamkan bahawa kakitangan di Unit Ukur Pantas JTU telah berkurang daripada 60 orang (terdiri daripada 12 pasukan masing-masing dengan lima anggota) kepada 40 orang.
“Manakala kakitangan yang terlibat dengan dokumentasi yang dulunya lapan orang kini tinggal tiga orang,” katanya semasa merasmikan Majlis Dialog Pantas yang diadakan di Dewan Kg Lokos, di sini, pada Selasa.
Madius berkata, akibat kekurangan tersebut, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta ataupun RM20 juta setahun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu dari 2021 ke 2025 tidak tercapai.
Ujarnya, berdasarkan sumber JTU, pencapaian perbelanjaan peruntukan hanya kira-kira RM68 juta (20 juta pada 2021; RM6.97 juta (2022); RM10 juta (2023); RM20 juta (2024) dan RM12 juta (2025)), dengan itu kurang RM31 juta untuk mencapai RM100 juta tersebut.
Selaku Ahli Parlimen, Madius berkata, beliau sentiasa bersuara di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia agar peruntukan dari Kerajaan Persekutuan dapat ditambah untuk memastikan agar tanah-tanah anak Negeri yang masih belum bergeran dapat dikeluarkan geran.
“Namun jika JTU tidak berkeupayaan untuk melaksanakan, maka sia-sialah perjuangan kita.
“Secara keseluruhan sudah tentu rakyat Sabah berterima kasih kepada kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah atas pelaksanaan Program Pantas ini.
“Sejak pelaksanaan Program Pantas pada 2011 sehingga 2025, ia telah menberi manfaat kepada 84,614 pemilik tanah hak tanah adat di seluruh Sabah dengan keluasan keseluruhan seluas 484,025,451 ekar,” katanya.
Ujar Madius, Pusat Khidmat Parlimen Tuaran akan menghantar cadangan beberapa lagi kampung untuk penyukatan tanah anak Negeri secara Pantas.
Turut hadir, Ketua Daerah Kecil Kiulu, OKK Kumin Gapai, Ketua Kampung Kotunuan Lama, Akim Kuling, Ketua Kampung Lokos, Steven Kimbin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Lokos, Aloysius Wong selain wakil JTU.