Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Kes curi RM24.2 juta: Tiga dipenjara
Published on: Saturday, June 14, 2025
Published on: Sat, Jun 14, 2025
By: Jo Ann Mool
Text Size:
Text:
Kes curi RM24.2 juta: Tiga dipenjara
Sugumaran (kiri) dan Hasran dibawa ke mahkamah. Gambar kanan: Subramaniam.
Kota Kinabalu: Tiga daripada 10 individu yang didakwa berhubung kegiatan kumpulan jenayah terancang berkaitan pengeluaran wang secara penipuan berjumlah RM24.2 juta, masing-masing dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Sugumaran K. Ponniah, 56, bekerja sendiri; Subramaniam Thangavelu, 57, seorang guru sekolah rendah; dan Hasran Magin, 47, seorang nelayan — masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol kepada pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan kerana membantu kumpulan jenayah terancang.

Advertisement
Sugumaran, Subramaniam and Hasran masing-masing melakukan kesalahan tersebut di cawangan-cawangan MBSB di sini antara 13 Mei hingga 3 Julai; 9 Mei hingga 4 Julai; dan 26 April hingga 1 Julai tahun lalu.

Pertuduhan alternatif itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Duncan dalam penghakimannya, antara lain, menyatakan bahawa kesalahan ini memberi implikasi serius terhadap keyakinan awam dan pelanggan.

Dia berkata, tindakan sedemikian boleh membawa kepada kejatuhan ekonomi serta menimbulkan rasa tidak percaya secara meluas dalam kalangan pelanggan.

Advertisement
Duncan memerintahkan ketiga-tiga tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Sebelum itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa satu laporan polis dibuat pada 27 Jun 2024 oleh seorang Penolong Penguasa Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Sabah, berdasarkan risikan terhadap kumpulan jenayah terancang yang disyaki memalsukan kad pengenalan untuk melakukan penipuan kewangan berskala besar.

Advertisement
Bertindak atas maklumat itu, polis menangkap Sugumaran, Subramaniam dan Hasran di tepi jalan berhampiran Jalan Pahlawan pada jam 4 petang, 8 Julai 2024 dan menyerahkan mereka kepada Pegawai Penyiasat.

Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka membantu kumpulan jenayah terancang melakukan pecah amanah jenayah oleh kerani atau ejen, serta menggunakan sekuriti berharga palsu, iaitu kad pengenalan palsu, bagi mendapatkan keuntungan kewangan.

Dengan bantuan ketiga-tiga tertuduh, kumpulan itu mengeluarkan wang dalam jumlah besar secara penipuan daripada beberapa akaun deposit tetap di beberapa cawangan MBSB di Kota Kinabalu menggunakan kad pengenalan palsu, menurut keterangan di mahkamah.

Siasatan turut mendapati kumpulan jenayah yang dibantu tiga tertuduh itu terlibat dalam beberapa kesalahan serius di bawah siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 120B Kanun sama, seperti dalam Laporan Menggatal (MBSB Alamesra):

Dua pengeluaran tanpa kebenaran daripada akaun deposit tetap milik Wang Su Sing — RM2 juta pada 26 April 2024 dan RM7 juta pada 30 April 2024.

Laporan Tanjong Aru (MBSB Lintas Jaya): Pengeluaran wang secara salah daripada akaun Ananthan a/l Sinivesan — RM2 juta pada 9 Mei 2024 dan RM4 juta pada 10 Mei 2024.

Laporan Menggatal (MBSB Lintas Jaya): Dua pengeluaran palsu daripada akaun Edgar Ralph Fernandez — RM2 juta pada 17 Mei 2024 dan RM3.7 juta pada 21 Mei 2024.

Laporan Menggatal (MBSB Alamesra): Satu pengeluaran haram RM3.5 juta daripada akaun Karina Ang Li Li pada 5 Jun 2024.

Peguam Datuk Ram Singh, Dominic Chew dan Azhier Farhan, yang masing-masing mewakili Subramaniam, Sugumaran dan Hasran, memohon hukuman ringan kurang tiga tahun dengan berhujah, antara lain, ia adalah kesalahan pertama mereka, mereka insaf, kesal dan tidak menggunakan kekerasan.

Azhier juga berhujah bahawa semua wang terbabit telah dikembalikan sepenuhnya oleh pihak MBSB, manakala Ram menyatakan Subramaniam telah berkhidmat selama 18 tahun sebagai guru Bahasa Inggeris dan sedih kerana hilang faedah pencen.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal, menekankan keseriusan kesalahan, kepentingan awam serta keperluan untuk pengajaran, dan menyatakan bahawa pengakuan salah tidak harus menjadi pertimbangan utama.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Nazran Mohd Sham juga berhujah bahawa peranan setiap tertuduh tidak boleh dilihat secara berasingan, menambah kes ini berasal daripada siasatan di bawah Sosma, yang menurutnya mencerminkan tahap keseriusan kes.

Nazran turut berhujah bahawa walaupun wang telah dikembalikan, ia hanyalah melalui pampasan insurans bank. 

Hakikatnya, jumlah sebenar yang diambil masih belum pulih sepenuhnya, malah kurang daripada 50 peratus. Ini bukan sahaja merugikan bank, tetapi turut menjejaskan kepercayaan awam terhadap sistem kewangan.

Dia dibantu oleh TPR Shafiq Hasim, Mohd Ashraf Adrin Kamarul dan Yazid Mustaqim Roslan, manakala Ram dibantu oleh peguam Prem Elmer Ganasan.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Nasir Abdul Rasid, sebelum ini mengaku bersalah kepada pertuduhan alternatif tetapi kemudian mempertikaikan fakta kes.

Enam lagi tertuduh — Josepin J. Langkan, Leong Hin Ping, Vireonis Jonok, Mazlani Jenuary serta dua pengurus bank, Iren Chin Nyuk Thien dan Christina @ Caroline Pianus Etip — yang didakwa secara berasingan sebagai anggota kumpulan jenayah terancang antara 26 April hingga 10 Julai 2024 di cawangan MBSB di sini, bersama Nasir, akan disebut semula kes mereka pada 18 Julai.

Mereka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here