Seorang lelaki berusia 46 tahun yang merogol anak tirinya dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan dikenakan 12 kali sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan pada akhir peringkat pembelaan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh pada Jumaat.
Lelaki itu didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 11 tahun pada jam 1.57 petang, 30 Disember 2021 di sebuah rumah di Inanam.
Dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram, yang mana di bawah Seksyen ini ia memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjaranya dari tarikh sabitan tetapi permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dibenarkan.
Bagaimanapun, tertuduh perlu memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya esok.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah tambahan agar lelaki itu diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun di bawah Seksyen 295(1A) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) serta menjalani kaunseling pemulihan dalam tempoh tahanan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 295A KTJ.
Seramai tujuh saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang baru dilantik pada hari keputusan dibuat, merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman minimum dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama lelaki terbabit dan dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurut Nurul, lelaki itu juga telah memohon maaf kepada anak tirinya dan keluarganya.
Tambah beliau, walaupun berdepan dengan kes terbabit, lelaki itu tetap melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberikan sokongan kewangan kepada isterinya dan mangsa.
Sebagai balasan, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim menggesa mahkamah agar mengenakan hukuman paling berat terhadap lelaki itu.
“Ini mengambil kira fakta bahawa lelaki itu membuang masa mahkamah kerana perbicaraan telah berlangsung terlalu lama. Saksi-saksi yang dibawa oleh pihak pembelaan tidak mempunyai kaitan dengan kes dan hanya menambah kelewatan dalam prosiding.
“Undang-undang digubal untuk melindungi kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada eksploitasi seksual oleh individu yang jelas mempunyai pengaruh terhadap kanak-kanak tersebut dan/atau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa, justeru hukuman minimum penjara lapan tahun di bawah seksyen 376(3) Kanun Keseksaan,” kata Shafeerah.
Beliau juga menghujahkan walaupun lelaki berkenaan telah memohon maaf kepada mangsa, trauma yang dialami akan kekal sebagai satu episod hitam dalam hidup mangsa.
Shafeerah menegaskan hukuman berat juga akan berfungsi sebagai pengajaran kerana pihak pendakwaan berhujah bahawa mangsa, terutamanya kanak-kanak, mesti dilindungi oleh undang-undang daripada sebarang jenayah, khususnya jenayah seksual, dalam apa jua keadaan.