PERTANDINGAN Rentas Budaya 2.0 anjuran Tawau Music Association yang disertai 65 peserta pelbagai suku dari seluruh Sabah dilihat mampu menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata program berkenaan amat unik apabila menampilkan peserta Melayu atau suku lain menyanyikan lagu berbahasa Cina manakala peserta berbangsa Cina menyanyikan lagu Melayu.
“Hal ini menunjukkan bahasa dan muzik itu sangat universal dan program ini membuktikan satu pertembungan budaya yang harus kita raikan bersama.
“Penganjuran pertandingan adalah bertujuan memperkasakan adat, budaya dan bahasa setiap etnik di Sabah agar masih dapat dikenali serta difahami.
“Program sama juga membuktikan keharmonian dan kemakmuran rakyat pelbagai etnik, budaya dan agama yang menjadi kunci keamanan negeri selain mampu dijadikan satu tarikan pelancongan,”katanya.
Rina yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Rentas Budaya 2.0 di Dewan Hing Hwa Tawau pada Sabtu.
Memasuki edisi kedua Rina menyatakan kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa memberi sokongan terhadap usaha memelihara serta memartabatkan budaya yang wujud di Sabah.
Beliau berharap acara tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar dengan turut melibatkan banyak sekolah, daerah dan komuniti.
“Kita amat berbangga kerana Sabah sering digambarkan sebagai contoh terbaik kepada Malaysia yang sebenar apabila rakyat pelbagai bangsa, agama dan budaya hidup bersatu padu dan saling memahami.
“Oleh itu saya yakin kementerian dan agensi-agensi berkaitan sedia memberi sokongan dari segi moral, logistik mahupun kewangan sekiranya diperlukan oleh pihak penganjur,” ujarnya.