RANAU: Empat penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) di sini kini sudah boleh tersenyum lebar apabila rumah itu, yang dipohon pada awal tahun ini, akhirnya siap dan diserahkan kepada mereka pada Ahad.
Empat penerima itu ialah Dunisa Junisah Garaim, Boby@Mohd Azuan Saidi, Shamsani Amilin dan Alfrendy Liong.
Mereka menerima kunci rumah yang disampaikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun pada Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat 2025 yang diadakan di Kg Lipasu, di sini, pada Ahad.
Pada majlis itu juga, surat tawaran RMR diserahkan kepada enam peserta RMR 2025 iaitu Marconi Sandou, Danny James, Pinah Serungin, Lailawati Ramlee, Aldy Ramdin Gaminik dan Gaerry Supail.
Masidi merakamkan penghargaan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana berjaya menyiapkan projek berkenaan mengikut spesifikasi dan dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, sebagai Menteri Kewangan Negeri Sabah, beliau sentiasa percaya bahawa tanggungjawab kerajaan bukan sekadar merangka dasar dan meluluskan bajet, tetapi juga memastikan dasar tersebut sampai ke pintu rumah rakyat atau dalam konteks hari ini, ke kunci rumah itu sendiri.
“Setiap keluarga yang menerima rumah hari ini atau yang menerima surat tawaran bukan sekadar menerima kunci dan dokumen. Mereka menerima harapan baharu, permulaan baharu dan mungkin juga pengakhiran selepas bertahun-tahun menyewa atau tinggal di rumah yang tidak sempurna.
“Sebuah rumah bukan sekadar struktur konkrit. Ia adalah tempat anak-anak membesar, tempat keluarga berkumpul, tempat kasih sayang bersemi dan tempat di mana kita rasa selamat dan tenang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Program RMR merupakan satu inisiatif yang sangat mulia yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki rumah secara konvensional.
Dengan bantuan subsidi dan kemudahan pinjaman daripada SPNB, katanya, rakyat yang layak kini mempunyai peluang untuk memiliki rumah yang selesa dan selamat.
Tambahnya, sejak program ini diperkenalkan, sebanyak 71,847 unit telah dibina dan diserahkan kepada golongan memerlukan di seluruh negara dan bagi Sabah, sebanyak 2,556 unit telah diperuntukkan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha SPNB dan agensi perumahan lain dalam memastikan tiada rakyat Sabah yang tercicir daripada peluang untuk memiliki rumah sendiri.
“Kita faham dalam dunia hari ini, kos sara hidup meningkat, harga bahan binaan pula tidak menurun. Namun komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat marhaen tidak pernah goyah.
“Di peringkat Kementerian Kewangan, kami akan terus memastikan semua peruntukan bagi pembangunan rakyat termasuk perumahan, kemudahan asas dan kesejahteraan sosial akan terus diberi keutamaan dalam perancangan kewangan negeri,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Ar Mohd Jamil Idris, Pengarah SPNB Cawangan Sabah Mohd Hafiz Sua Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Ranau (Pembangunan) Florencia Padasian, Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Karanaan Suhaimi Manjun dan lain-lain.