SANDAKAN: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menafikan dakwaan ia adalah parti berpangkalan di Sarawak yang cuba “masuk campur” di Sabah, sebaliknya menegaskan parti itu sebenarnya berasal dari Sabah sebelum mengalami penjenamaan semula dan kini kembali memperkukuh tapaknya di negeri ini.
Setiausaha Agungnya, Munan Anak Laja, berkata PBM bukan sahaja parti berbilang kaum yang bersifat inklusif, malah diasaskan di Sabah sekitar tahun 1980-an sebelum diambil alih dan dinamakan semula oleh pemimpin dari Sarawak.
“Ada orang tanya kami, kenapa parti dari Sarawak datang ke Sabah? Hakikatnya, PBM berasal dari Sabah — kita cuma pulang ke pangkal jalan,” katanya semasa melancarkan Jelajah PBM Sabah di sini.
Beliau menambah bahawa PBM kini bersifat nasional, berteraskan reformasi dan akan terus bergerak secara bebas menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Jadi kita akan bertanding solo. Kecuali kalau ada perubahan senario politik. Tapi setakat ini, kita akan teruskan secara solo,” katanya.
Program di Hotel Gloria, Bandar Letat itu turut menyaksikan pelancaran bahagian Tanjung Papat, yang berjaya menarik lebih 1,300 ahli dalam tempoh sebulan. Munan mengesahkan PBM akan meletakkan calon di kerusi tersebut.
Munan turut mengkritik budaya rasuah yang masih menebal dalam pilihan raya, dan menggesa rakyat Sabah menolak pemimpin yang terus memancing undi dengan wang ringgit.
“Kalau rasuah menentukan keputusan pilihan raya, PBM memang tiada masa depan. Tapi kalau rakyat mahu kepimpinan bersih dan berintegriti, PBM adalah pilihan mereka. Duit boleh ambil, tapi undi jangan diberi kepada perasuah,” tegasnya.
Munan turut menyeru rakyat Sabah supaya tidak lagi mengulangi pola pengundian lama yang hanya menyebabkan negeri ini terus ketinggalan dari segi infrastruktur, utiliti asas dan jurang kekayaan.
“Kalau kita tak berubah, kita akan terus dipijak, terus miskin dan terus terpinggir,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PBM Sabah, Jupperi Lenson mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang mempertikaikan kehadiran PBM, sedangkan parti lain seperti Star — yang berasal dari Sarawak — tidak pernah dipersoalkan dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
“Kalau Star boleh datang ke Sabah dan bertanding, kenapa PBM — yang asalnya dari Sabah — tak boleh?” katanya.
Jupperi berkata PBM telah membuat persediaan sejak 2022 dan kini aktif di tujuh kawasan, antaranya Tanjung Papat, Bandau, Kota Belud, Tuaran, Tulid dan Kundasang. Katanya, pendekatan inklusif yang digunakan di Sarawak turut disesuaikan mengikut keperluan politik dan masyarakat di Sabah.
“PBM ialah parti nasional… jadi isu tempatan atau luar tidak seharusnya timbul. Apa yang lebih penting ialah kualiti kepimpinan dan agenda yang menyeluruh,” katanya.