Tuaran: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan sokongan sekiranya parti gabungan dipimpinnya itu bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17.
Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah, menegaskan belum terdapat keputusan muktamad dalam menentukan mana-mana parti yang akan bekerjasama bagi menghadapi PRN akan datang.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, yang bersetuju sekiranya gabungan itu bertembung dengan BN pada PRN Ke-17 selepas mengambil kira “hajat” Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Saya sokong pendapat dia (Armizan) tetapi apa pun, kita belum buat keputusan muktamad. Ini (permintaan bertembung) bukan dari saya, tetapi dari parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat.
“Jadi, kita jangan paksa orang kalau tidak berminat. GRS bersedia untuk menghadapi sesiapa sahaja dalam PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikin selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Persidangan Tahunan Bahagian (PTB) PGRS Bahagian Sulaman Kali Ke-3 di Dewan Sri Sulaman, di sini, Ahad lepas.
Menurut Hajiji, itu (persediaan menghadapi pelbagai parti) adalah pendirian mereka namun sebarang bentuk kerjasama harus diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS.