SEBANYAK RM10 juta diperuntukkan di bawah Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (Cemi) bagi pemain industri kreatif, pengurusan konsert serta acara di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif berkenaan rebat kewangan baharu yang diperkenalkan kerajaan menerusi belanjawan 2025 kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
“Peruntukan ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi industri kreatif tempatan melalui kerjasama strategik selain mahu memastikan standard pengurusan acara yang tinggi.
“Ia juga untuk menarik dan menyokong penganjuran konsert mahupun acara muzik berskala besar dengan kapasiti lokasi sebanyak 15,000 orang ke atas yang menampilkan artis antarabangsa dan tempatan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
“Permohonan Cemi yang baru dilancarkan pada 15 Mei lalu itu antaranya untuk penganjuran konsert dan acara bagi artis antarabangsa dan artis tempatan dengan syarat yang ditetapkan,” katanya pada Program Kembara ‘Ask Me Anything’ pada Isnin.
Pada majlis itu Teo turut menyampaikan dana kepada Pengerusi Persatuan Seni Kreatif dan Pemuzik Tempatan Sandakan Muhammad Firdaus Shaharom selaku penerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) dari Sandakan bernilai RM80,000 bagi penganjuran Sandakan Nature City Loud Festival 2025.
Mengulas lanjut Teo menyatakan sebanyak 335 konsert antarabangsa telah diadakan pada tahun 2023 dan menyumbang lebih RM498 juta kepada ekonomi.
Katanya jumlah itu meningkat 408 konsert pada 2024 sekali gus menjana sumbangan yang lebih tinggi sebanyak RM553 juta.