RANAU: Lebih 500 penduduk dari tiga kampung di sini akhirnya menerima geran tanah yang dipohon menerusi Program Pantas Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
Geran-geran tersebut diserahkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, sempena Majlis Penyerahan Geran Tanah Program Pantas Kampung Narawang, Kampung Waluhu dan Kampung Lutut di Mini Dewan Kg Narawang, pada Isnin.
Abidin berkata, sebanyak 396 geran tanah diserahkan semasa majlis itu, manakala lagi 148 akan diserahkan bulan depan selepas semua proses berkaitan diselesaikan.
“Kita berkumpul di sini kerana satu majlis penting bagi tiga kampung ini. Kita tahu tanah ini sudah lama didiami penduduk, tetapi pemilikan sah sukar diperoleh kerana pelbagai kekangan mendapatkan geran.
“Akhirnya, hari ini impian rakyat untuk memiliki geran tanah tercapai. Kita ingin ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, atas inisiatif beliau menjayakan Program Pantas ini di seluruh negeri,” katanya.
Abidin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paginatan, turut merakamkan penghargaan kepada JTU atas komitmen tinggi melaksanakan program kerajaan yang sangat bermakna kepada rakyat.
Katanya, program Pantas seterusnya akan dilaksanakan di Mukim Suminimpod serta di kawasan Tinanom, Kodop dan Kigiwit.
“Bagi Kg Bongkud dan Namaus, kelulusan program Pantas telah diperoleh dan hanya menunggu peruntukan disalurkan,” katanya.
“Tahniah kepada semua penerima geran tanah. Diharapkan geran ini dapat diwariskan kepada anak cucu kerana ia adalah harta paling berharga.
“Sebagai wakil rakyat Paginatan, saya menggesa semua penduduk ketiga-tiga kampung ini terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berasaskan komitmen dan usaha berterusan kerajaan dalam memakmurkan kehidupan rakyat.
“Kerajaan wajar disokong demi kesinambungan pelaksanaan program pembangunan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Sementara itu, wakil JTU Saat Durasit berkata, sasaran awal jabatan adalah mengeluarkan 500 geran tanah menerusi Pantas, namun selepas turun padang, mereka berjaya menandakan lebih kurang 600 geran.
“Ukuran Pantas sangat popular. Di kawasan Parlimen Ranau, semua DUN ada program Pantas masing-masing, namun paling aktif ialah di Paginatan.
“Kami ucapkan tahniah kepada Datuk Abidin kerana benar-benar berusaha menyokong pelaksanaan Program Pantas. JTU akan terus melaksanakannya selagi peruntukan kerajaan masih ada,” katanya.
Ketua Kampung Nahur Masipah yang mewakili tiga kampung berkenaan merakamkan penghargaan kepada Abidin atas usaha gigihnya sehingga penduduk kini memperoleh pemilikan sah tanah mereka.
“Terima kasih juga kepada JTU kerana merealisasikan impian kami untuk memiliki geran tanah bagi tanah yang telah kami usahakan sekian lama.
“Inilah sejarah bagi kami di Kg Narawang, Kg Lutut dan Kg Waluhu kerana menerima geran tanah dalam jumlah yang besar. Hari bersejarah ini telah mengubah kehidupan kami menjadi lebih baik,” katanya.
Turut hadir, Penolong Pengarah JTU Nurul Ikshan Ibrahim, Penolong Pegawai Daerah Florencia Padasian, Ketua Daerah OKK Muhasip Hj Rauman, PPHT Ranau Jaidi Gulis, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, dan pemimpin kampung.