Kota Kinabalu: Satu laporan polis dibuat terhadap satu perhimpunan awam yang dijadual berlangsung hujung minggu ini kerana didakwa dipengaruhi unsur politik luar dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.
Bekas Presiden Persatuan Ahli Kehormat Kor Sukarelawan Malaysia (Rela), Datuk Jerry Ambuting Mohd, membuat laporan tersebut di Balai Polis Tanjung Aru terhadap program “Perarakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0” yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini.
Perhimpunan yang dijangka bermula dari Suria Sabah ke Lintasan Deasoka itu dikatakan dianjurkan oleh Suara Mahasiswa UMS, yang diketuai oleh seorang individu dikenali sebagai Fadhil Kasim bersama beberapa rakan.
“Walaupun perhimpunan ini dilabelkan sebagai ‘aman’, kebimbangan timbul terhadap kemungkinan wujudnya agenda tersembunyi di sebalik penganjurannya.
“Saya percaya terdapat unsur hasutan dan pengaruh luar termasuk kemungkinan campur tangan parti pembangkang yang cuba mempergunakan pelajar untuk agenda politik sempit mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa memperalatkan pelajar, khususnya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), untuk tujuan politik adalah tidak beretika dan boleh menjejaskan reputasi institusi pengajian tinggi.
“Pelajar seharusnya menjunjung tinggi idealisme intelektual dan akademik, bukannya dijadikan perisai untuk demonstrasi jalanan yang digerakkan oleh kepentingan tertentu,” ujarnya.
Jerry turut melahirkan kebimbangan bahawa perhimpunan itu boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan awam, termasuk mengganggu perniagaan di pusat bandar, berlakunya provokasi daripada pihak luar yang ekstrem, serta risiko ketegangan kaum dan agama sekiranya isu-isu sensitif dibangkitkan.
Beliau menggesa pihak polis menyiasat penganjur dan sumber pembiayaan perhimpunan tersebut, termasuk menentukan sama ada terdapat campur tangan elemen politik luar yang mengambil kesempatan.
“Di Sabah, kita dikenali dengan budaya rasional dan menghormati undang-undang. Demonstrasi jalanan bukanlah cara kita di sini.
“Negeri ini memerlukan kestabilan dan perpaduan, bukan kekacauan jalanan yang menggugat keharmonian yang telah lama kita pupuk bersama,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda atau sentimen yang dibawa oleh mereka yang menggunakan golongan muda sebagai alat politik.