KUNAK: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak mempersoalkan dominasi politik di Sabah harus ditentukan oleh rakyat bukannya parti.
Beliau berkata masa depan politik negeri Sabah tidak boleh terus dibelenggu sentimen perkauman sempit atau perbalahan antara parti tempatan dan nasional.
“Kita jangan terperangkap dalam perdebatan siapa lebih baik parti tempatan atau parti nasional.
“Bagi saya yang paling penting bukan label parti tetapi siapa yang boleh membawa suara rakyat. Yang dominan mesti rakyat Sabah sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Pelancaran Program Radu Tetap Radu Peringkat Daerah Mengundi (PDM) Pangi anjuran Barisan Nasional (BN) Sabah kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kunak pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pemuda Umno Bahagian Lahad Datu Datuk Seri Anil Sandhu.
Salleh yang juga Bendahari Umno Sabah menyatakan parti hanyalah wadah namun yang lebih utama ialah bagaimana ia digunakan untuk memperjuangkan kebajikan dan pembangunan untuk rakyat.
“Saya dari BN sebuah parti nasional tetapi saya percaya masa depan Sabah mesti ditentukan oleh rakyat Sabah.
“Kita harus pilih pemimpin yang mampu bekerja untuk semua bukan hanya mainkan sentimen sempit,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau menyeru rakyat Sabah khususnya di kawasan pantai timur agar menolak politik perkauman dan sentimen kebencian yang boleh merosakkan perpaduan negeri.