Kota Kinabalu: Cadangan Program Keusahawanan Bumiputera dua fasa Sedco mendapat sokongan diraja daripada adinda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tunku Mariamz Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Tunku Mariamz menekankan kepentingan latihan dan bimbingan yang bukan sahaja berkesan tetapi juga menjimatkan masa agar dapat memberi impak nyata kepada kehidupan usahawan bumiputera yang bercita-cita tinggi.
“Kita tidak boleh sekadar menjemput pelabur; kita juga mesti memastikan pelaburan tersebut benar-benar sampai kepada rakyat,” titahnya semasa lawatan ke Ibu Pejabat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) di Wisma Sedco, pada Khamis.
Baginda menekankan keperluan kerangka ekonomi lebih inklusif yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.
Program yang bakal dilancarkan bulan depan itu bertujuan menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan melalui pembangunan kemahiran khusus, bimbingan mentor dan penyediaan sumber untuk meningkatkan tahap keusahawanan di Sabah.
Tunku Mariamz turut mengetengahkan potensi besar platform perdagangan digital dan dalam talian, menggalakkan usahawan Sabah meneroka peluang perdagangan global.
Baginda diberi taklimat mengenai ekosistem perniagaan Sedco yang meluas dan pelbagai, sekali gus menyerlahkan peranan penting perbadanan tersebut dalam pembangunan sosioekonomi Sabah merangkumi sektor perlombongan, pembinaan, hartanah, hospitaliti, pelancongan dan keusahawanan.
Pertemuan tersebut menyaksikan dialog produktif dan perkongsian visi untuk kemajuan berterusan negeri, khususnya dalam mewujudkan peluang kepada komuniti bumiputera.
Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Ar. James Wong Kein Peng atas pelantikan beliau sebagai Pengurus Besar Kumpulan yang baharu.
Turut hadir, barisan Pengurusan Tertinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat-syarikat di bawah Sedco, termasuk Rahim Mohd Zain (Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn Bhd), Mat Saidi Minting (Pengurus Besar Perkasa Realty Sdn Bhd), Shiu Vay Leung (Pengurus Besar Sedco Precast Sdn Bhd) dan Shamsul Bahri Johari (Pengurus Besar Sedco Mining Sdn Bhd).
Sebagai penyokong tegar pemeliharaan alam sekitar Sabah, Tunku Mariamz turut memberi amaran terhadap amalan pembangunan tidak mampan.
Baginda menyuarakan kebimbangan terhadap pencemaran plastik, ancaman terhadap hidupan liar, dan keperluan untuk amalan pelancongan yang lebih bersih dan bertanggungjawab.
Baginda berkongsi pengalamannya mendaki Gunung Kinabalu dan menekankan bahawa keindahan semula jadi serta warisan budaya Sabah perlu dipromosi lebih meluas menerusi filem dan penceritaan digital.
Visi baginda untuk Sabah ialah pendekatan pelancongan yang lestari, bukan sahaja menarik pelawat tetapi juga memastikan kelestarian ekosistem dan komuniti untuk jangka panjang.
“Kita mesti lindungi alam sekitar demi generasi akan datang,” titahnya sambil menekankan pentingnya memelihara kepelbagaian etnik dan keindahan semula jadi negeri ini.
Tunku Mariamz turut menyatakan bahawa Sabah Maju Jaya tidak sepatutnya hanya menjadi slogan semata-mata.
“Kesatuan dan keikhlasan mesti didahulukan. Ketepikan perbezaan politik dan kepentingan peribadi, serta fokus kepada usaha memperbaiki negeri ini,” titahnya.
Kemajuan hanya boleh dicapai apabila semua pihak berkepentingan bekerjasama dengan niat tulus dan berteraskan khidmat kepada rakyat.
Baginda turut mengingatkan bahawa kejayaan sebenar bukan diukur melalui populariti, tetapi melalui tahap perkhidmatan yang diberikan dan integriti dalam melaksanakan amanah.