SANDAKAN: Semangat kesukanan bakal disemarakkan hujung minggu ini apabila Piala Harapan Ragbi Sandakan 2025 bermula pada 21 dan 22 Jun di Padang Eagles Rugby Club, Batu 5, Sandakan.
Dianjurkan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, kejohanan itu bakal menghimpunkan pasukan ragbi berbakat dari seluruh Sabah, termasuk dari Tawau, Lahad Datu, Keningau, Kota Kinabalu, Telupid, dan daerah tuan rumah Sandakan.
12 pasukan lelaki akan bersaing dalam kategori 10 sebelah, termasuk XCV Badbois, Sabah OSCA Warriors, Hunters Rugby Club, Nabawan Kalawon, Eagles Rugby Club A & B, Titanium RC, SS Scorpion A, Naughtyboyz RC, Bomba, Hornets RC dan Saga Kinabatangan.
Sementara itu, bahagian wanita akan dipertandingkan dalam format 7 sebelah, dengan empat pasukan mengambil bahagian iaitu Flyers, Java, Java B dan Kung Fu Panda.
Kejohanan akan berlangsung dari 7 pagi hingga 5 petang bagi kedua-dua hari tersebut.
Orang ramai, terutamanya penduduk Sandakan, dijemput hadir, menyokong pasukan kegemaran mereka.
Menurut Vivian, ragbi bukan sahaja sukan yang mencabar kekuatan fizikal dan strategi tetapi juga memupuk semangat kerja berpasukan dan ketahanan mental dalam kalangan anak muda.
“Sukan adalah medium penting untuk menyatukan masyarakat dan menyebarkan tenaga positif. Sandakan memerlukan lebih ramai belia yang sihat dan bertenaga untuk membantu membina masa depan yang lebih cerah untuk komuniti kita,” katanya.
Vivian menambah bahawa kejohanan itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas untuk menyediakan golongan muda dengan platform yang bermakna bagi melibatkan diri dalam aktiviti membina sahsiah yang sihat melalui sukan.