TELUPID: Daerah Keningau diisytihar sebagai Zon Hijau (zon pemulihan) bagi penyakit Demam Babi Afrika (ASF) selepas tiada kes baharu dilaporkan sejak kes terakhir pada 12 Januari.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G. mengumumkan perkara tersebut ketika hadir merasmikan bangunan baharu Jabatan Veterinar Sabah di Telupid, pada Khamis.
Jelasnya, dalam kes tersebut, ia melibatkan seorang penternak di kampung Keningau dengan 20 ekor babi terkesan.
“DVS Sabah telah mengambil langkah pencegahan segera, termasuk pelupusan baki ternakan hidup dan kawalan ketat terhadap pergerakan keluar ternakan dan produk babi dari daerah tersebut.
“Kempen kesedaran penyakit ASF turut dilaksanakan melibatkan penternak dan penduduk dalam radius 10 kilometer dari kawasan terlibat. Setakat ini, tiada kes baharu ASF dilaporkan di Sabah,”katanya.
Namun begitu, katanya, bagi mengelakkan penularan semula, DVS turut melaksanakan pemantauan dan persampelan berterusan di rumah sembelihan babi di seluruh negeri.
“Sabah juga masih menyekat kemasukan ternakan dan produk berasaskan babi dari Semenanjung Malaysia, Sarawak serta negara-negara yang terkesan dengan wabak ASF, kecuali melalui analisis risiko dan lesen import yang sah.
“Selain ASF, penyakit rabies turut menjadi fokus utama. DVS kini giat menjalankan kawalan rabies, khususnya di kawasan sempadan Sabah-Sarawak dan Sabah-Kalimantan yang masih dianggap endemik.
“Program vaksinasi rabies melibatkan anjing dan kucing sedang dijalankan secara aktif dalam radius 30 kilometer dari sempadan.
“Sebagai penyakit zoonotik yang boleh membawa maut kepada manusia melalui gigitan haiwan pembawa virus, langkah pencegahan dan vaksinasi dianggap kritikal dan tidak boleh dikompromi,” katanya.