TELUPID: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah terus memperkukuh usaha pembangunan sektor ternakan negeri menerusi pelbagai inisiatif.
Ini termasuk penganjuran Program Gabungan NDV4 dan Kempen Kesedaran Umum Daerah Telupid yang dirasmikan bersama pembukaan bangunan baharu Pejabat DVS Telupid, di sini, pada Khamis.
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh perkhidmatan veterinar hingga ke peringkat akar umbi, demi menjamin kelangsungan industri penternakan negeri.
Menurut Jeffrey, Telupid kini dikenal pasti sebagai antara kawasan berpotensi tinggi dalam sektor penternakan dengan populasi ternakan yang aktif merangkumi 280 ekor lembu pedaging, 35 ekor kerbau, 3,500 ayam pedaging, 2,500 ayam penelur, 2,500 itik, 58 ekor babi dan 120 rumah walit berdaftar.
“Keadaan ini menjadi asas penting kepada pembangunan agromakanan luar bandar yang perlu disokong dengan prasarana, kepakaran dan dasar yang bersesuaian.
“Daerah ini turut mempunyai ladang veterinar yang berfungsi sebagai tapak latihan teknikal dan penternakan bagi menyokong pembangunan ruminan negeri,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut.
Jeffrey berharap DVS Telupid dapat menjadi pusat utama dalam penyampaian khidmat teknikal, pemvaksinan, khidmat nasihat, penguatkuasaan serta pemantauan kesihatan ternakan secara sistematik di daerah ini.
“Saya percaya Telupid mampu menjadi model pembangunan komuniti ternakan luar bandar yang mampan. Justeru, kerajaan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan makanan, biosekuriti dan kebajikan haiwan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Mary Josephine S.Golingai berkata, penubuhan pejabat DVS di Telupid ini adalah antara langkah penting untuk memastikan perkhidmatan veterinar lebih dekat dengan penternak, khususnya dalam aspek pemantauan kesihatan haiwan, pelaksanaan program vaksinasi, kawalan penyakit dan kebajikan haiwan.
“Ia juga akan berfungsi sebagai pusat sokongan teknikal terutama untuk daerah Telupid dan kawasan sekitarnya di Wilayah Sandakan.
“Kehadiran DVS secara rasmi di Telupid turut membuka ruang kepada kolaborasi rentas agensi, penyampaian input teknikal yang lebih cepat dan tindakan responsif terhadap insiden penyakit atau aduan lapangan. Kita mahu penternak kecil dan sederhana di daerah ini mendapat sokongan sama rata seperti yang dinikmati di kawasan lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, lebih 1,000 anak ayam, 1,000 anak itik dan 500 anak puyuh telah diagihkan kepada penternak kecil pada program tersebut sebagai usaha mempertingkatkan taraf hidup komuniti luar bandar.
Ia juga dilihat sebagai pelaburan strategik dalam membantu pemulihan ekonomi pasca pandemik serta mengurangkan tekanan akibat krisis inflasi makanan.
Program vaksinasi NDV4 yang melibatkan 41 kampung dalam lima mukim di daerah ini turut menunjukkan keberkesanan pendekatan intervensi terus kepada masyarakat luar bandar.