Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menghalang perhimpunan aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang dijadual berlangsung esok (Sabtu). Bagaimanapun, pihak penganjur diingatkan supaya tidak menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, dalam surat maklum balas kepada penganjur, menasihatkan agar perhimpunan itu dijalankan secara aman dan teratur, tanpa sebarang provokasi atau gangguan terhadap ketenteraman awam.
Sementara itu, kumpulan penganjur yang dikenali sebagai Suara Mahasiswa UMS menyifatkan maklum balas polis kali ini sebagai sesuatu yang “belum pernah berlaku sebelum ini”.
“Ia harus dinormalisasikan sebagai tanda menghormati hak berhimpun dan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata kumpulan itu.
Perhimpunan dijangka bermula pada jam 1 petang di hadapan pusat beli-belah Suria Sabah, sebelum peserta berarak ke Lintasan Deasoka, Jalan Gaya, dan meneruskan demonstrasi hingga Ahad.
Penganjur mengekalkan tuntutan mereka, termasuk tindakan tegas terhadap skandal Jabatan Air Sabah, reformasi institusi, dan penggantungan individu yang dituduh terlibat dalam rasuah.