LAHAD DATU: Pasukan Hapkido Sabah membawa pulang tiga pingat daripada Kejohanan Hapkido Asia Tenggara 2025, yang berlangsung di Indonesia dari 14 hingga 15 Jun.
Pengasas dan Presiden Hapkido Sabah, Master Bernardo Vivero berkata, Sabah menggondol satu pingat emas dan dua pingat gangsa dalam kejohanan itu.
Bernardo berkata, salah seorang atlet, Ikhwanul Hakim Endrajid berjaya meraih pingat emas selepas menumpaskan dua atlet dari Thailand.
Katanya, Ikhwanul mempamerkan aksi menakjubkan termasuk menang menerusi kalah mati teknikal (TKO) pada pusingan awal dan kemenangan lengkap pada pusingan akhir.
“Prestasi menakjubkannya telah menobatkannya sebagai atlet remaja terbaik kejohanan.
“Kami juga memperoleh dua pingat gangsa menerusi Daphne Suling dan Mohd Izwan Fitri. Atlet kami yang lain, Affyzan Bernardo juga menunjukkan prestasi menyerlah tetapi terpaksa akur kepada peserta dari Kemboja pada suku akhir,” katanya.
Menurut Bernardo, kejayaan itu menunjukkan walaupun Hapkido baru diperkenalkan di Malaysia khususnya di Sabah, namun berjaya melahirkan atlet muda berkaliber tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Katanya, semua atlet akan berusaha meneruskan pembelajaran dan latihan bagi menyemarakkan lagi semangat menyertai Hapkido.
“Hapkido ialah seni mempertahankan diri Korea yang menekankan pertahanan diri yang praktikal, menggabungkan teknik seperti kunci sendi, gusti, lontaran dan pukulan.
“Mereka yang berminat untuk menyertai kami boleh mengikuti kami di Facebook - Hapkido Sabah atau hubungi saya di talian 010-4539970,” tambahnya.