Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhaimi Nasir mempersoal langkah yang disediakan kerajaan negeri untuk melindungi rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, daripada kesan peningkatan kos sara hidup, menjelang pelaksanaan penuh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 1 Julai ini.
“Kira-kira 40 peratus isi rumah di Sabah tergolong dalam kumpulan B40, dengan majoritinya bergantung kepada sektor tidak formal dan ekonomi sara diri.
“Dalam keadaan ini, SST yang dilaksanakan akan memberi tekanan besar kepada kuasa beli rakyat, terutamanya di luar bandar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
SST di Sabah bakal dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Julai ini, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cukai jualan antara 5 hingga 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan tidak penting terpilih, manakala cukai perkhidmatan diperluas merangkumi sektor seperti penyewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan swasta dan perkhidmatan kecantikan.
Suhaimi, yang juga Ahli Parlimen Libaran, berkata walaupun SST penting untuk menambah hasil negara, tanpa dasar sokongan yang adil dan menyeluruh, ia akan menjadi beban kepada rakyat biasa.
“Kerajaan negeri harus segera memperkenalkan langkah seperti subsidi bersasar, perluasan kawalan harga barang keperluan dan bantuan tunai bersyarat untuk memastikan kesan cukai ini dapat diimbangi dengan sokongan yang berkesan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah merupakan antara negeri paling terkesan dengan ketidakseimbangan pembangunan dan ketaksamaan pendapatan, justeru hasil kutipan cukai mesti dikembalikan semula kepada rakyat.
“Ini termasuk pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya luar bandar, klinik desa, bekalan air bersih dan liputan internet terutamanya di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan,” katanya.
“Rakyat Sabah berhak tahu ke mana wang itu disalurkan dan bagaimana ia membantu meringankan beban kehidupan mereka. Kepercayaan rakyat bukan datang dari slogan, tetapi dari tindakan yang benar-benar mengutamakan mereka yang paling memerlukan,” tambah beliau.